AM > BERITA

BKK Aidilfitri RM500 Kepada Penjawat Awam, RM250 Untuk Pesara Dibayar 24 Mac - PM Anwar

21/03/2025 05:25 PM

SEPANG, 21 Mac (Bernama) -- Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah yang akan dibayar minggu depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata BKK Aidilfitri sebanyak RM250 pula akan dibayar kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

“Kerajaan menimbang secara serius walaupun pada hemat saya (isu bonus penjawat awam) sudah diselesaikan pada bulan Februari tetapi kerana mengenangkan pentadbiran itu lebih baik, khidmat mereka lebih baik dan kesungguhan yang ada.

“Maka saya putuskan, Insya-Allah dalam minggu depan, kita akan salurkan kepada Gred 56 ke bawah RM500 bagi setiap penjawat awam dan untuk pesara RM250 termasuk veteran dan veteran tidak berpencen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/2024 Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Gred Sistem Saraan Malaysia (SSM) 55 dan 56 ditukarkan Gred SSPA 15.

Anwar berkata pembayaran BKK Aidilfitri kepada 1.6 juta penjawat awam dan pesara itu membabitkan peruntukan mencecah RM900 juta.

“Alhamdulillah, oleh kerana kita catat pertumbuhan ekonomi lebih baik, hasil negara lebih baik dan sumbangan penjawat awam lebih teratur, lebih disiplin, ketirisan masih ada tetapi banyak (dapat) dikawal,” kata beliau.

Justeru, Anwar berharap penjawat awam di negara ini dapat memahami mengapa kerajaan sentiasa bersikap tegas dalam isu tatakelola bagi mengelak ketirisan dan rasuah dalam sektor perkhidmatan awam.

“Sebab itu penting apabila kita (kerajaan) dapat hasil, kita pulangkan balik kepada rakyat,” kata Perdana Menteri.

Di dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Kewangan memaklumkan BKK Aidilfitri turut dibayar kepada pegawai/kakitangan lantikan kontrak merangkumi contract of servicecontract for service, pegawai sambilan harian dan lantikan MySTEP.

Kenyataan itu juga memaklumkan bagi bantuan khas sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan, ia meliputi pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara KWSP, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

“Kerajaan berharap pemberian bantuan khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” menurut kenyataan itu.

Selain penjawat awam, Kerajaan MADANI juga akan mengawalkan Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 untuk sembilan juta penerima mulai 24 Mac (Isnin) membabitkan dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan