AM > BERITA

Etiqa Takaful, Persatuan Kebajikan Hawariyyun Santuni Anak Yatim Di Kedah Dan Perlis

22/03/2025 01:55 PM

Oleh Nurrul Huda Ahmad Lutfi

KANGAR, 22 Mac (Bernama) -- Etiqa Takaful Berhad dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Hawariyyun menyalurkan sumbangan berjumlah RM308,000 bagi menyantuni anak yatim serta pelajar asnaf di Kedah dan Perlis, sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad Zafri Ab Halim berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM200,000 diperuntukkan untuk penerima di Perlis, manakala selebihnya diagihkan kepada mereka di Kedah dalam usaha menyuntik kegembiraan kepada golongan itu.

“Seramai 310 individu di dua negeri itu menerima manfaat sumbangan dalam bentuk wang tunai,” katanya kepada Bernama.

Seramai 60 anak yatim dan fakir miskin di Persatuan Al Islah Perlis, Teratak Rahmat di sini menerima sumbangan wang tunai semalam selain sumbangan RM50,000 diberikan kepada persatuan itu untuk kebajikan anak-anak yatim di bawah jagaan mereka.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan tersebut di Teratak Rahmat. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Kebajikan Hawariyyun, Al-Ikhwan Rahmattullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor.

Zafri berkata selain sumbangan terus di Teratak Rahmat itu, pihaknya bersama Persatuan Kebajikan Hawariyyun juga mengadakan majlis berbuka puasa bersama Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin semalam, yang turut menjadi platform bagi menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dari beberapa rumah kebajikan lain di Perlis.

“Kami sering bekerjasama dengan banyak NGO (badan bukan kerajaan), namun dengan Persatuan Kebajikan Hawariyyun ini baru pertama kali kami menjalinkan kerjasama bagi pengagihan sumbangan di Kedah dan Perlis ini,” katanya.

Sementara itu, Al-Ikhwan berkata mereka bekerjasama rapat dengan MAIPs dalam menentukan lokasi serta penerima yang layak, bagi memastikan bantuan disampaikan secara adil dan menyeluruh.

“Kami mendapat kerjasama baik daripada pihak MAIPs selain kami berasa amat gembira kerana turut memperoleh sokongan penuh daripada Tuanku Raja Muda Perlis yang sudi berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan ini hari ini (semalam),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan