AM > BERITA

Kebaikan Dalam Setiap Pesanan: Kisah Penuh Kesyukuran Rakan Grab

21/03/2025 04:33 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Grab Malaysia tampil dengan siri video pendek, "Kebaikan Dalam Setiap Pesanan", memaparkan kisah sebenar yang menyentuh hati daripada rakan-pemandu dan rakan-penghantar Grab bersempena dengan bulan Ramadan dan Syawal.

Menerusi inisiatif ini, Grab Malaysia memberi platform kepada rakan-pemandu dan rakan-penghantar Grab untuk berkongsi perkara yang paling disyukuri dalam musim perayaan ini, memaparkan bagaimana perbuatan baik yang kecil mampu memberi kesan berganda dalam komuniti mereka.

Kisah-kisah ini memberi gambaran tentang kehidupan rakan-pemandu dan rakan-penghantar Grab di sebalik perkhidmatan mereka selain membawakan semangat Ramadan dan raya, memupuk semangat kemasyarakatan dan hubungan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengarah Urusan Grab Malaysia Adelene Foo dalam kenyataan hari ini berkata menerusi "Kebaikan Dalam Setiap Pesanan", Grab Malaysia ingin meraikan kebaikan setiap hari dalam komuniti dan merakamkan penghargaan kepada rakan-pemandu dan rakan-penghantar atas dedikasi dan usaha mereka yang tidak mengenal penat lelah.

“Ramadan dan raya ialah musim untuk bermuhasabah, berbudi dan bersatu. Dengan kembalinya program Umrah Bersama Rakan Grab, kami berusaha membalas jasa dengan menawarkan peluang kepada rakan-rakan kami untuk mengecapi keberkatan menunaikan umrah.

“Inisiatif ini menjunjung nilai inklusif dan kebolehcapaian, mengiktiraf kepelbagaian impian dan aspirasi rakyat Malaysia," katanya. 

Melengkapi siri ini, Grab Malaysia sekali lagi memperkenalkan Umrah Bersama Rakan Grab untuk rakan-pemandu dan rakan-penghantar Grab dan memberi peluang kepada mereka dan keluarga, memenangi pakej umrah menerusi perkongsian kisah kesyukuran mereka.

Grab Malaysia dalam kenyataan memaklumkan melalui inisiatif-inisiatif ini, Grab Malaysia berharap dapat memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mengakui impak perbuatan baik yang kecil dan mengamalkan sifat bermurah hati melewati musim perayaan.

Bagi pemenang tahun lepas, seorang rakan-pemandu dari Kuala Lumpur, dikenali sebagai Nor Fadzliana berkata peluang dan pengalaman ini mengubah hidupnya.

"Melihat kaabah dengan mata saya sendiri ialah sesuatu yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ia perkara yang tidak pernah saya bayangkan, tetapi Grab menjadikannya kenyataan.

“Setiap kali saya bercerita tentang perjalanan umrah saya, air mata saya bergenang. Ia lebih daripada sekadar ganjaran — ia adalah impian yang tercapai. Dapat berkongsi perjalanan suci ini bersama ibu menjadikannya lebih istimewa — ia benar-benar satu pengalaman yang mengagumkan,” katanya.

Seorang lagi pemenang, rakan-pemandu dari Pulau Pinang dikenali sebagai Muhammad Faizal berkata kemenangan ini ialah satu rahmat yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

“Ketika saya melangkah masuk ke Masjidil Haram​ dan melihat kaabah, hati saya dipenuhi kedamaian. Menunaikan umrah bersama isteri bukan sekadar perjalanan, tetapi juga hadiah yang mendalamkan keimanan dan mengukuhkan ikatan kami.

“Saya juga dapat membawanya menziarahi kubur ayah saya di Makkah, menjadikan pengalaman ini lebih bermakna. Saya akan sentiasa menghargai perjalanan ini, dan saya bersyukur kepada Grab kerana menjadikannya kenyataan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan