AM > BERITA

Bazar Ramadan Tani FAMA Perlis Catat Jualan RM1.4 Juta

22/03/2025 01:22 PM

KANGAR, 22 Mac (Bernama) -- Bazar Ramadan Tani anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis, mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.4 juta setakat ini melibatkan dua lokasi utama iaitu Pasar Tani Kekal Simpang Empat dan Dataran ABC MAIPs, Kangar.

Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata nilai jualan itu melibatkan penyertaan 120 usahawan dan dijangka mencapai sasaran RM1.5 juta memandangkan tempoh operasi bazar masih berbaki kira-kira 10 hari lagi.

“Melalui bazar ini, kita bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan usahawan tempatan, malah memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan pelbagai produk pertanian dan makanan segar sepanjang Ramadan,” katanya pada pemberita di sini petang semalam.

Terdahulu, FAMA Perlis menyampaikan Kit Sentuhan Kasih berupa barangan keperluan kepada 30 asnaf dari kariah Masjid Al-Ariffin Padang Katong di sini, yang disempurnakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar Affendi Rajini Kanth bersama Mohd Anzara di Dataran ABC MAIPs itu.

Sementara itu, Mohd Anzara berkata dalam usaha menyemarakkan bulan Ramadan dan menggalakkan amalan bersedekah, FAMA Perlis turut menganjurkan Program Sentuhan Kasih Ramadan @ Bazar Ramadan Tani.

Beliau berkata program itu diadakan sebanyak tiga kali sejak 7 Mac dan berjaya mengumpulkan 600 kilogram makanan serta minuman bagi tempoh itu untuk diagihkan kepada anak kariah di lapan masjid sekitar negeri itu.

“Selain memeriahkan sambutan Ramadan, inisiatif ini juga bertujuan membantu golongan yang memerlukan agar mereka dapat menikmati juadah berbuka puasa hasil sumbangan para usahawan bazar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan