SEREMBAN, 21 Mac (Bernama) -- Pembukaan lorong tambahan jalan Persekutuan Seremban-Kuala Pilah siap dinaik taraf, memanfaatkan lebih 30,000 pengguna harian serta penduduk sekitar.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerja menaik taraf jalan itu bertujuan mengurangkan kesesakan di kawasan “bottle neck” sepanjang satu kilometer (km) di persimpangan Taman Nusa Intan di sini.
“Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya disebabkan laluan ini lokasi kawasan kemalangan dengan jumlah nahas yang tinggi di samping untuk mengatasi masalah banjir kilat melalui sistem perparitan dan pembentungan lebih efektif.
“Projek ini bermula 20 Dis 2021 dengan kaedah pelaksanaan secara konvensional dalaman, harga kontrak semasa bernilai RM18.16 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan lorong tambahan jalan Seremban-Kuala Pilah di sini hari ini.
Beliau berkata skop pembinaan termasuk kerja-kerja menaik taraf persimpangan Taman Nusa Intan dan persimpangan Bukit Putus Lama, perparitan dan pembentungan, penjajaran semula Sungai Linggi, dan pemasangan perabot jalan serta lampu jalan dan lampu isyarat.
Nanta berkata bagi meningkatkan keselamatan jalan raya, projek itu turut memperkenalkan Zon Menunggu Motosikal di persimpangan Taman Nusa Intan dan persimpangan Jalan Bukit Putus Lama, kali pertama diperkenalkan di Seremban bagi meningkatkan keselamatan penunggang motosikal.
“… dengan adanya ruang khas ini, penunggang motosikal kini mempunyai tempat khusus untuk berhenti ketika menunggu lampu isyarat hijau sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan kelancaran lalu lintas di persimpangan utama,” katanya.
Dalam pada itu, Nanta berkata KKR turut meninjau projek pembinaan jalan baharu dari Nilai-Labu-Bandar Enstek bagi projek Malaysia Vision Valley (MVV) yang melibatkan jalan empat lorong dua hala sepanjang 16.3 km dengan piawaian R5.
Beliau berkata projek itu dijadualkan siap pada Julai 2026 melibatkan kos lebih RM200 juta, menyumbang kepada kepesatan pembangunan dan ekonomi di negeri ini melalui peningkatan peluang pekerjaan dan pelaburan luar negara.
“Selain itu, ia juga dapat menyumbang kepada peningkatan nilai hartanah, perkembangan infrastruktur, peningkatan taraf hidup, pembangunan sektor pelancongan dan pembangunan industri baharu.
“Projek ini adalah projek tender semula, kontraktor asal telah ditamatkan kontrak pada 24 Nov 2022. Nilai kerja disiapkan oleh kontraktor terdahulu berdasarkan peratus kewangan adalah 47 peratus manakala 53 peratus baki kerja akan disiapkan oleh kontraktor baharu dilantik,” katanya.
Sementara itu, kerja pembaikan cerun yang disebabkan kejadian runtuhan akibat hujan lebat di Jalan Paroi-Senawang dijangka siap Jun ini.
“Saya turun padang melihat sendiri perkembangan kerja pembaikan yang sedang giat dilaksanakan kontraktor ... saya memohon kerjasama pengguna jalan raya di sini untuk bersabar dan sentiasa berhati-hati serta mematuhi arahan keselamatan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial