AM > BERITA

SEDIA Serah Permohonan 14 Projek Bernilai RM702 Juta Bawah RMK13 Di Sabah

21/03/2025 11:01 PM

TUARAN, 22 Mac (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) telah menyerahkan sebanyak 14 permohonan projek bernilai RM702 juta di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi SEDIA berkata permohonan itu diserahkan kepada Kementerian Ekonomi untuk pertimbangan dan kelulusan.

Beliau berkata SEDIA dengan pembiayaan Kementerian Ekonomi juga telah menyiapkan Kajian Pembangunan Ekonomi Kawasan Sempadan Sabah yang merangkumi pelan strategik komprehesif untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan kawasan sempadan di Sipitang, Nabawan, Kalabakan dan Tawau.

“Kawasan berkenaan terletak secara strategik berhampiran Kalimantan Utara, Brunei dan Sarawak yang mana sektor ekonomi berkenaan dikenal pasti," menurutnya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat SEDIA di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Kampung Lok Batik di sini hari ini.

Hajiji berkata sektor itu termasuk pelancongan komuniti, perikanan dan akuakultur, industri hiliran minyak sawit, biokimia, biofuel dan perdagangan rentas sempadan yang dijangka meningkatkan Nilai Tambah Kasar kawasan terbabit kepada RM1.6 bilion serta membuka 10,660 peluang pekerjaan menjelang 2040.

Beliau berkata sejak RMK9 hingga RMK12, SEDIA telah melaksanakan lebih 1,275 projek dengan peruntukan RM3.8 bilion dan daripada jumlah itu, 90 peratus dibelanjakan untuk projek berimpak tinggi, berpaksikan rakyat, program pembasmian kemiskinan dan pembangunan modal insan.

Ketua Menteri itu berkata SEDIA bersama Jabatan Perikanan Malaysia dan Sabah telah menjalankan kajian kebolehlaksanaan mengenai penternakan kerang berdarah serta mengenal pasti beberapa lokasi di Tawau, Semporna, Tuaran, Kudat, Beluran dan Teluk Padas Beaufort.

“Projek kerang berdarah iaitu yang pertama di Sabah mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi membantu lebih 3,000 orang," katanya.

Hajiji berkata kerjasama SEDIA dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) juga telah dapat menilai dan membimbing 10 kajian tempatan yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Beliau berkata Sabah telah dipilih sebagai medan ujian penggunaan dron pengangkutan penumpang dan kargo yang bakal dilakukan oleh SEDIA bersama FUTURISE Berhad, sebuah syarikat Kementerian Kewangan, di lokasi sesuai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan