KOTA BHARU, 21 Mac (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan melancarkan operasi menangkap gajah liar susulan insiden penoreh getah dan petugas Perhilitan cedera akibat diserang haiwan itu, di Kampung Laloh, Kuala Krai.
Pengarahnya Mohamad Hafid Rohani berkata pihaknya menerima aduan pada Selasa berhubung insiden seekor gajah liar menyerang seorang penoreh getah berhampiran rumahnya di kampung berkenaan.
“Bertindak atas aduan, anggota Pejabat Perhilitan Daerah Kuala Krai segera ke lokasi kejadian. Mangsa telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semasa siasatan lanjut dijalankan di lokasi kejadian seorang petugas turut cedera di kaki selepas diserang gajah liar yang sama.
Mohamad Hafid berkata petugas itu berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian sebelum dihantar ke unit kecemasan hospital yang sama untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan menjalankan operasi tangkapan dan kawalan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.
“Orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar serta tidak bertindak sendiri yang boleh membahayakan keselamatan diri,” katanya.
Sebarang aduan atau maklumat mengenai hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau melalui e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial