AM > BERITA

Perak Perluas Pertanian Bandar Ke Penjara Dengan Fertigasi Tembikai

21/03/2025 08:19 PM

TAPAH, 21 Mac (Bernama) -- Program Pertanian Bandar yang diperkenalkan kerajaan diperluas menerusi kerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia bagi menyokong agenda sekuriti makanan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata antara inisiatif dijalankan kerajaan negeri ialah Program Fertigasi Tembikai di Penjara Tapah.  

Beliau berkata program itu dilaksanakan setelah melihat kejayaan projek rintis hidroponik rock melon atau tembikai wangi di Rumah Seri Kenangan, Seri Iskandar tahun lepas yang memberikan pulangan kepada penghuni rumah terbabit. 

"Projek ini memfokuskan kepada penanaman buah tembikai menggunakan sistem fertigasi di atas tanah seluas 0.4 hektar dengan 1,500 benih pokok yang akan memanfaatkan 4,000 prospek dan 500 kakitangan penjara serta akan diperluas di lain-lain penjara kelak. 

"Projek ini juga akan menjadi nilai tambah kepada Penjara Tapah yang turut menerima insentif kerajaan dengan pelaksanaan Program Peningkatan Kemahiran AGRO-MAS PEKA MADANI 2024 yang memberi tumpuan kepada tanaman ubi kayu, kelapa matag, pisang tanduk dan kelapa sawit di kawasan 45.6 hektar tanah pertanian," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Zolkafly berkata demikian selepas merasmikan Projek Pertanian Bandar dan Penyerahan Sumbangan Sistem Fertigasi Tanaman Tembikai Penjara Tapah yang turut dihadiri Pengarah Penjara Negeri Perak Timbalan Komisioner Penjara C. Charin Promwichit. 

Beliau berkata kerajaan negeri juga sentiasa menyokong setiap usaha bagi menjayakan Pelan Perak Sejahtera 2030 dan menyatakan komitmen untuk memastikan kelangsungan program itu. 

"Program Pertanian Bandar memperuntukkan RM25,000 bagi setiap daerah dan setakat ini telah dilaksanakan di Tapah dan Perak Tengah jadi kita akan adakan jelajah selepas ini. 

"Projek tanaman ini tidak hanya akan tertumpu kepada tanaman tembikai atau tembikai wangi sahaja kerana kita akan perbanyak lagi tanaman lain seperti cili, salad dan lain-lain sayuran," katanya. 

Mohd Zolkafly berkata setiap individu termasuk mereka yang sedang menjalani hukuman, berhak diberikan peluang untuk memperbaiki kehidupan.

"Ia bukan sekadar mengajar kemahiran pertanian, tetapi memberi harapan, membentuk disiplin dan mencipta peluang baharu kepada mereka yang mahu membina kehidupan lebih baik selepas menjalani proses pemulihan.

"Program ini bukan sahaja bertujuan untuk menggalakkan keterlibatan komuniti dalam pertanian, tetapi juga untuk memperkasakan individu termasuk golongan warga emas dan penghuni institusi pemulihan dengan ilmu pertanian moden yang mampu menjana manfaat ekonomi," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan