LABUAN, 22 Mac (Bernama) -- Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Inisiatif Meraki Daat Sabah, memenangi Cabaran Inovasi untuk Pulau di Malaysia oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
Dalam kenyataan kepada Bernama hari ini, Pengasas pertubuhan itu Michele de la Harpe berkata kemenangan menerusi inisiatif Dive and Build – yang menggabungkan pemuliharaan marin dengan pembinaan mampan menggunakan bata eko daripada plastik kitar semula itu – diumumkan secara rasmi minggu ini.
"Inisiatif ini mengiktiraf dan memperkasakan penyelesaian inovatif untuk komuniti pulau. Kejayaan ini juga menandakan pencapaian penting dalam misi pertubuhan ini untuk memacu kelestarian alam sekitar, pelancongan berasaskan komuniti dan pemuliharaan lautan.
"Ia juga meletakkan Sabah di peta dunia dalam pembangunan mampan, ekopelancongan dan inovasi," katanya.
Michelle berkata Dive and Build menggabungkan pemulihan ekosistem marin dan pengurusan sisa lestari.
"Penyelam mengumpul dan mengitar semula plastik di lautan, menukarkan ia menjadi bata eko untuk projek infrastruktur dalam komuniti pulau. Penyelesaian ini dapat menangani pencemaran plastik dan menyumbang kepada pembangunan mampan dengan menyediakan bahan binaan mesra alam," katanya.
Michelle berkata bahan ini boleh digunakan untuk pembinaan landskap, pusat komuniti, sekolah, kemudahan pelancongan, laluan pejalan kaki dan jalan kecil.
"Kejayaan ini dicapai menerusi kerjasama dengan badan antarabangsa, agensi kerajaan tempatan dan pihak berkepentingan industri," katanya.
Beliau berkata inovasi Dive and Build berpotensi menjadi pencetus perubahan, menangani cabaran alam sekitar dan mewujudkan peluang ekonomi, ia memanfaatkan biodiversiti marin yang kaya di Sabah dan sektor pelancongan yang kukuh.
"Meraki Daat berharap dapat memperluas inisiatif ini, membina lebih banyak kerjasama dan memberi impak jangka panjang terhadap pemuliharaan lautan dan pelancongan mampan," katanya.
Cabaran Inovasi untuk Pulau di Malaysia oleh UNDP dilancarkan pada Ogos 2024, bertujuan mempromosikan penyelesaian pengurusan sisa tempatan yang inovatif dengan tumpuan terhadap pelancongan mampan, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial