SUKAN > BERITA

MESF SASAR DUA EMAS DI SUKAN SEA THAILAND

22/03/2025 08:31 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) –Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) menetapkan sasaran untuk membawa pulang dua pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Dis INI, menurut presidennya Muhammad Naim Al-Amin.

Beliau berkata sasaran tersebut disandarkan kepada kategori Arena of Valor (AoV) dan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) berdasarkan prestasi cemerlang pemain negara dalam kejohanan tempatan dan antarabangsa.

“Kita tahu pasukan AoV Thailand sangat kuat tetapi kita juga mempunyai pemain yang berkaliber. Untuk MLBB, walaupun pasukan lain hebat, itu tidak bermakna kita lemah.

“Sebaliknya, semangat juang atlet kita menjadi faktor penentu kejayaan. Sebab itu, kita tidak hanya fokus kepada aspek teknikal tetapi juga kepada kerohanian dan semangat membawa nama Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Piala Esports Malaysia 2025 yang berlangsung hari ini hingga esok di Pavilion Exhibition Centre, Bukit Jalil.

Beliau menegaskan pihaknya komited menjaga kebajikan atlet dengan berkolaborasi bersama Esport MedicA sebagai langkah proaktif bagi memastikan aspek mental dan kesejahteraan pemain sentiasa terjaga, terutamanya dalam menghadapi tekanan tinggi semasa kejohanan.

Dalam temasya dwitahunan edisi kali ini, Malaysia akan menyertai keenam-enam acara e-sukan yang dipertandingkan, iaitu eFootball, MLBB kategori lelaki dan wanita, AoV, Free Fire, dan FIFA Online 4.

Mengenai pemilihan pasukan, Muhammad Naim menjelaskan bahawa pemilihan dibuat berdasarkan prestasi dalam liga profesional yang dikendalikan oleh penerbit permainan tersebut.

“Sebagai contoh, pemilihan pasukan MLBB kategori lelaki akan dibuat berdasarkan prestasi dalam liga MLBB. Manakala bagi kategori wanita, kita akan menilai pemain melalui liga tersendiri. Kaedah yang sama turut digunakan untuk permainan lain seperti eFootball dan permainan lain,” katanya.

Selain itu, MESF berhasrat untuk menghantar satu pasukan penuh bagi setiap kategori berbanding mencampurkan pemain daripada pasukan lain bagi memastikan keserasian dan strategi yang mantap dapat dipamerkan sepanjang kejohanan.

Malaysia sebelum ini pernah meraih pingat emas e-sukan menerusi permainan Hearthstone yang dimenangi oleh Dr. Yew Weng Kean pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan