AM > BERITA

Terminal Bersepadu Gombak Beroperasi Sepenuhnya, Penumpang Harap Lebih Banyak Bas

22/03/2025 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang mula beroperasi sepenuhnya hari ini, mendapat pujian atas kemudahan moden, perkhidmatan yang cekap, serta reka bentuk luas dan selesa bagi keselesaan penumpang.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan penumpang yang tiba di terminal tersebut, menyambut baik kemudahan disediakan termasuk akses mudah ke sistem transit aliran ringan (LRT) Gombak dan kemudahan parkir yang luas, selain kawasan terminal itu yang strategik.

Bagi Nik Aliza Wan Mohd Mohayidin, 55, yang berasal dari Kuala Nerang, Terengganu, selain fasiliti yang lengkap, lokasi terminal itu yang boleh dikatakan terletak di pintu masuk ibu negara dari pantai timur, lebih menjimatkan masa.

Ini terutama bagi dirinya yang kerap berulang-alik ke rumah adiknya, yang secara kebetulan terletak di Melawati yang hanya kira-kira lima kilometer daripada TBG.

“Kemudahan di terminal ini sangat baik dan strategik kerana berdekatan stesen LRT, lagipun rumah adik saya dekat Melawati, jadi kalau dibandingkan dengan TBS (Terminal Bersepadu Selatan) memang agak jauh dan kawasan situ agak sesak,” katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.

TBG yang terletak di kawasan strategik di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) serta berdekatan dengan Plaza Tol Gombak dan Stesen LRT Gombak, merupakan hab pengangkutan utama untuk perjalanan ke Pantai Timur membabitkan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Pengasas Syarikat & Ketua Pegawai Eksekutif Terminal Bersepadu Gombak Sdn Bhd (TEGAS) Datuk Seri Mohd Nadzlim Mohd Noor berkata pengoperasian penuh TBG akan membantu mengurangkan kesesakan di Terminal Bersepadu Selatan, yang turut menyediakan perkhidmatan bas ke Pantai Timur.

Konsep terminal itu yang menggabungkan hab pengangkutan dan pusat beli-belah menawarkan ruangan yang luas, infrastruktur lengkap serta tersusun, termasuk 1,200 tempat letak kereta dan lebih 100 kedai yang telah mula beroperasi di terminal itu.

Seorang lagi penumpang Zakaria Yusof, 40, berkata fasiliti TBG yang seumpama terminal kapal terbang, lengkap penghawa dingin dan kerusi mencukupi di ruang menunggu, selain kaunter e-tiket yang banyak, menjadikan pengalaman perjalanan yang baharu dan selesa buat penumpang.

“Terminal ini bukan sahaja luas dan selesa, tetapi perkhidmatannya juga sangat cekap. Memang pengalaman perjalanan dari beli tiket hingga ke tempat hentian senang dan lancar,” katanya.

Bagaimanapun, seorang pekerja di terminal itu yang hanya ingin dikenali sebagai Affan berharap lebih banyak maklumat dan publisiti mengenai terminal itu disebar luas kepada orang ramai, supaya lebih ramai lagi pihak dapat menggunakan perkhidmatan terminal itu.

Manakala bagi Effiza Herman, 35, yang sedang menunggu bas untuk perjalanan ke Kuala Terengganu, meluahkan harapan agar lebih banyak syarikat bas mula beroperasi di terminal itu supaya penumpang tidak perlu ke TBS atau ke Greenwood lagi untuk mendapatkan bas ke Pantai Timur.

“Saya gembira dengan kemudahan yang ada di sini, tetapi tidak banyak pilihan bas. Jika lebih banyak syarikat bas beroperasi, pasti lebih ramai penumpang akan memilih terminal ini, lagi-lagi raya dah nak dekat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan