AM > BERITA

Bazar Raya NADI Perkasa Keusahawanan Komuniti Setempat - Fahmi

22/03/2025 06:10 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Bazar Raya Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang diadakan serentak di 1,077 NADI seluruh negara hari ini mampu membantu usaha kerajaan untuk memperkasakan aspek keusahawanan dalam kalangan komuniti setempat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif di bawah Program Perkhidmatan Pintar NADI anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) itu membabitkan penyertaan lebih 5,000 usahawan.

“Program ini diadakan sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba dan kita tonjolkan lebih 5,000 usahawan yang telah menggunakan perkhidmatan NADI bagi meningkatkan kemahiran mereka sama ada untuk mengetahui cara menghasilkan produk seperti bakeri atau mengikuti program di TikTok Shop.

“Jadi kesemua usahawan ini kita jemput untuk sertai Bazar Raya ini untuk meningkatkan pendapatan di komuniti masing-masing,” katanya selepas merasmikan Bazar Raya NADI di NADI Sri Pantai di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah MCMC Wilayah Persekutuan Faisal Hamdi Mohammed Ghouth dan Ketua Pejabat NADI MCMC Dr Mohd Arif Adenan.

Fahmi, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata Bazar Raya NADI yang dianjurkan hanya sehari itu merupakan projek perintis bagi menilai kesesuaiannya untuk dilaksanakan pada perayaan lain seperti Deepavali dan Tahun Baharu Cina. 

Lebih menarik, beliau berkata Bazar Raya NADI turut membawa Jualan Rahmah MADANI dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Jualan Agro MADANI oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).  

“Ini secara langsung dapat memberi bantuan kepada komuniti dengan mereka berupaya membeli barangan keperluan terutama menjelang Aidilfitri pada harga rahmah dan lebih murah. 

“Program ini juga adalah satu eksperimen dan setelah kita teliti hasil, jualan dan isu yang dihadapi, saya nampak ada kemungkinan untuk dilaksanakan pada perayaan akan datang dengan sedikit penambahbaikan,” katanya.

Fahmi turut menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan maklumat yang diterima di media sosial dan mendapatkan kesahihan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan. 

Beliau berkata sekiranya maklumat yang diterima itu tidak lengkap, ia boleh menimbulkan pelbagai persepsi sehingga berkemungkinan mengganggu ketenteraman awam.

“Pada Januari lalu, ada beberapa pihak menuduh bukan Islam menceroboh masjid di Taman Tun Dr Ismail namun kemudian diberi penjelasan oleh pengerusi masjid bahawa individu itu bukan menceroboh tetapi pesakit mental.

“Manakala semalam kita dikejutkan dengan satu insiden seorang pak cik meniaga petai di satu lokasi di Port Dickson namun rupa-rupanya pak cik itu telah berniaga di hadapan sebuah kedai dan pemilik kedai itu telah mengadu kepada pihak penguat kuasa dan mereka telah minta beliau alihkan jualan sehingga pak cik tersebut beri reaksi yang kita lihat dalam video yang tular.

“(Menerusi) video itu kita hanya ada separuh daripada gambaran sebenar, jadi jangan kita sampai membuat rumusan sendiri dan menghukum, apatah lagi mengambil sebarang tindakan di luar batas undang-undang dalam beberapa isu melibatkan perniagaan dan rumah ibadat,” katanya. 

Bagaimanapun, Fahmi berkata beliau dimaklumkan bahawa peniaga petai itu kemudian telah dikunjungi oleh wakil Majlis Perbandaran Port Dickson untuk menyerahkan lesen perniagaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan