AM > BERITA

Penyerahan Hoverkraf ‘SALAMANDER’ Kepada TDM Dijangka Oktober Ini 

24/03/2025 01:58 PM

Oleh Hasnah Jusid

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Fasa pertama penyerahan dua unit Hovercraft Fast Interceptors atau nama tempatannya ‘SALAMANDER’ kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) dijangka dilaksanakan pada Oktober ini. 

Pengurus Pembangunan Perniagaan IDC Technologies Sdn Bhd Lt Kol (B) Shahrulamir Abd Rahman berkata fasa kedua pula akan membabitkan penyerahan baki empat unit hoverkraf yang dijadualkan pada Oktober 2026.

“Ini perolehan dan pengalaman pertama TDM dalam mengendalikan dan mengoperasikan hoverkraf,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

IDC Technologies memenangi tender pembekalan enam unit hoverkraf pada Januari lepas bernilai RM20.37 juta.

Kontrak itu meliputi membekal, menghantar, menguji dan mentauliah selama tiga tahun.

IDC Technologies akan membekalkan hoverkraf keluaran Airlift Hovercraft Pty Ltd yang berpangkalan di Queensland, Australia bagi model Kaiman atau nama tempatannya SALAMANDER bagi perolehan ini.

Beliau berkata syarikat Bumiputera itu juga akan melaksanakan kursus pengendalian kepada pasukan pengguna yang melibatkan anggota teknikal dan pengendali bagi memastikan pengoperasian hoverkraf itu kelak berjalan lancar. 

Shahrulamir berkata hoverkraf berkenaan yang mampu memuatkan 10 orang termasuk dua pengendali dan lapan penumpang adalah aset amfibia (dua alam) yang boleh bergerak di darat dan air.

Hoverkraf berkenaan mampu bergerak pantas atas air dan darat dengan minimum masa pengoperasian tujuh jam pada cruising speed tanpa pengisian semula minyak.

Ia sekali gus membolehkan aset itu digunakan untuk pelbagai operasi khas ketenteraan seperti kerja penyusupan atau pendaratan pantas dan sesuai untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Hoverkraf itu juga boleh digunakan bagi operasi Military Operation Other than War (MOOTW), termasuk bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) seperti menyelamat mangsa banjir dan sangat berguna untuk operasi di kawasan yang sukar diakses seperti pantai, paya, atau kawasan dilanda banjir.

Shahrulamir juga memaklumkan bahawa syarikatnya juga aktif menyertai beberapa tender Kementerian Pertahanan serta bercadang mengambil bahagian tender perolehan aset strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan