EKONOMI > BERITA

SIMPANAN KONSISTEN BANTU MUDAHKAN URUSAN TUNAI HAJI

28/03/2025 09:20 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Pengumuman agihan keuntungan tahun 2024 oleh Lembaga Tabung Haji (TH) baru-baru ini seakan menyalakan keceriaan terutamanya buat pendeposit tatkala sambutan Aidilfitri menjelang tiba.

Pastinya ramai yang sudah merancang untuk mengeluarkan bonus hasil simpanan di TH sebagai perbelanjaan untuk persiapan menyambut lebaran.

Bagaimanapun, kesedaran masyarakat perlu ditingkatkan untuk merancang kewangan dengan bijak dan teliti supaya tidak menyesal di kemudian hari.

Langkah menggunakan hasil agihan keuntungan sekadar mengikut keperluan dan terus menabung dalam simpanan akan memberikan manfaat berganda kepada pendeposit.

Amalan menyimpan secara konsisten di TH bukan sekadar untuk tabungan semata-mata malah juga sebagai strategi jangka masa panjang untuk memudahkan urusan ibadah haji apabila tiba giliran nanti.

 

KESAN PENGGANDA BAGI SIMPANAN KONSISTEN

 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pendeposit dapat menikmati kesan pengganda atau ‘compounding factor’ sekiranya menyimpan di TH secara konsisten dan tidak mengeluarkan wang.

“Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu menyimpan sebanyak RM200 sebulan di TH selama 10 tahun dengan andaian kadar dividen sebanyak tiga peratus, maka pada tahun ke-10, simpanan terkumpul boleh mencecah RM28,339,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berpendapat pada kadar 3.25 peratus, ia melebihi kadar inflasi purata jangka masa panjang iaitu 2.50 peratus, dan lebih daripada purata kadar simpanan tetap bagi tempoh 12 bulan iaitu 2.70 peratus.

“Oleh itu, (kadar agihan 3.25 peratus) boleh dikatakan kompetitif dan bersesuaian dengan selera risiko yang rendah yang diamalkan oleh Pengurusan TH,” katanya.

Sementara itu, Profesor Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin dari Jabatan Ekonomi, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata dengan menyimpan secara berkala di TH, pendeposit dapat mencapai jumlah minimum RM1,300 untuk mendaftar haji lebih awal memandangkan giliran haji bergantung kepada sistem pendaftaran berdasarkan konsep yang dahulu didahulukan atau ‘first come, first served’. 

“Simpanan yang stabil membolehkan pendeposit memanfaatkan dividen tahunan TH, yang akan membantu tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada simpanan pokok,” katanya.

 

TH PELABURAN PATUH SYARIAH, DIJAMIN KERAJAAN, ZAKAT DILUNASKAN

 

Muhammad Irwan berkata sistem TH yang patuh syariah, dijamin kerajaan, bebas cukai dan telah ditolak zakat, memastikan pendapatan pendeposit bersih dan selamat.

“Dari segi kelebihan berbanding institusi kewangan lain, TH mempunyai satu keunikan yang tiada pada mana-mana skim simpanan lain di Malaysia iaitu pembayaran zakat bagi pihak pendeposit.

“Berdasarkan Fatwa 3 Mei 1979, simpanan di TH tertakluk kepada kontrak wakalah, dengan TH membayar zakat ke atas semua simpanan dan keuntungan yang diperoleh.

“Ini bermaksud, agihan keuntungan yang diterima oleh pendeposit adalah bersih atau bersih zakat, sedangkan keuntungan daripada akaun simpanan atau pelaburan lain masih perlu dizakatkan, yang mengurangkan keuntungan bersih selepas zakat,” katanya.

Beliau berkata TH juga melaburkan dana dalam sektor halal dan berimpak tinggi, seperti instrumen pendapatan tetap, ekuiti, hartanah dan instrumen pasaran wang yang memberi manfaat kepada ekonomi negara.

“Justeru, menyimpan di TH bukan sekadar persediaan untuk menunaikan haji tetapi juga satu bentuk pemerkasaan ekonomi Islam yang memberi manfaat kepada individu dan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

 

KADAR AGIHAN KEUNTUNGAN TINGKATKAN TABUNGAN HAJI, KESEDARAN CELIK KEWANGA

 

Pengumuman agihan keuntungan TH sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024, tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sejak 2018, membuktikan komitmen berterusan institusi itu dalam menawarkan pulangan simpanan yang kompetitif dan mampan.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ishak Abd Rahman berkata walaupun ekonomi global dan Malaysia masih berdepan ketidaktentuan, kadar keuntungan ini menunjukkan strategi pelaburan berhemah dan tadbir urus yang cekap mampu menjana pulangan yang stabil untuk pendeposit.

Beliau berkata kadar agihan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pendeposit malah juga meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menabung secara konsisten untuk menunaikan haji.

“Pulangan yang stabil memberi motivasi kepada lebih ramai umat Islam untuk mula menyimpan lebih awal, sekali gus meningkatkan kesedaran kewangan dan perancangan jangka panjang dalam aspek ibadah haji,” katanya.

Beliau berkata trend peningkatan pendeposit turut menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan TH, dengan jumlah pendeposit meningkat kepada 9.54 juta pada 2024 berbanding 9.15 juta pada 2023 dan 8.77 juta pada 2022.

“Peningkatan ini membolehkan lebih banyak dana dikumpulkan untuk pelaburan yang berpotensi memberi pulangan lebih tinggi kepada penyimpan,” katanya.

Ishak berkata sebagai institusi kewangan Islam, TH bukan sahaja menyediakan platform simpanan haji yang selamat dan patuh syariah, malah turut berperanan dalam memperkasakan celik kewangan umat Islam melalui sistem simpanan yang berstruktur.

Selari dengan objektif penubuhan TH seperti yang diilhamkan oleh pengasasnya Almarhum Prof Diraja Dr Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang ingin menyediakan tabung simpanan khusus untuk tujuan haji di samping meningkatkan kesedaran masyarakat Melayu ketika itu mengenai pentingnya amalan menabung.

“Kadar keuntungan yang kompetitif ini memberi insentif kepada pendeposit untuk terus menabung, memastikan mereka dapat menunaikan haji dalam tempoh yang munasabah serta membantu dalam perancangan kewangan masa depan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan