PUTRAJAYA, 24 Mac (Bernama) -- Sektor pelancongan domestik Malaysia mengalami pertumbuhan yang memberangsangkan pada suku keempat 2024 dengan 66.8 juta pelawat dan perbelanjaan melonjak sebanyak 21.9 peratus berjumlah RM29 bilion, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM) hari ini.
Statistik berkenaan berdasarkan Survei Pelancongan Domestik Malaysia (DTS) Suku Tahun Keempat 2024 yang diterbitkan jabatan itu.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi kukuh pelancongan domestik Malaysia pada 2024 berterusan sehingga suku tahun terakhir, menjadikan jumlah pelawat pada tahun berkenaan kepada 260.1 juta, dengan peningkatan sebanyak 21.7 peratus berbanding 2023.
“Selaras dengan peningkatan jumlah pelawat, perbelanjaan pelancongan domestik mencecah RM107.2 bilion, mencerminkan pertumbuhan tahun ke tahun yang kukuh, iaitu sebanyak 26.3 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pertumbuhan dalam pelancongan domestik juga dicerminkan dalam prestasi industri berkaitan pelancongan.
Hasil daripada aktiviti zoo menyaksikan peningkatan sebanyak 15.6 peratus tahun ke tahun, menonjolkan daya tarikan terhadap hidupan liar.
Jualan runcit bahan api turut meningkat sebanyak 6.7 peratus, sejajar dengan aktiviti perjalanan domestik yang lebih tinggi, manakala ketibaan di lapangan terbang domestik meningkat sebanyak 6.1 peratus.
Sementara itu, industri hotel menunjukkan daya tahan yang kukuh dengan kadar penghunian untuk hotel empat bintang meningkat sebanyak 5.9 peratus, mencerminkan permintaan berterusan untuk pilihan penginapan mewah.
“Destinasi pantai menyaksikan peningkatan ketara sebanyak 12.1 peratus dalam kadar penghunian, menunjukkan peralihan ke arah percutian pantai, manakala kawasan bandar mencatatkan peningkatan sederhana sebanyak 0.7 peratus, menandakan pengagihan pelawat domestik yang lebih seimbang merentasi pelbagai destinasi,” katanya.
Mohd Uzir turut menekankan sumbangan positif daripada aktiviti ekonomi yang lebih meluas pada suku keempat dengan sektor perkhidmatan berkembang 6.2 peratus tahun ke tahun pada suku keempat, sebahagian besarnya didorong oleh pertumbuhan dalam perdagangan borong dan runcit serta makanan dan minuman, sektor yang mendapat manfaat daripada peningkatan perbelanjaan pengguna untuk perjalanan, makan dan minum serta perkhidmatan yang berkaitan.
Beliau berkata subsektor pengangkutan turut menyaksikan pertumbuhan kukuh terutama dalam pengangkutan darat dan pengangkutan udara, masing-masing meningkat sebanyak 10 peratus dan 9.3 peratus, mencerminkan peningkatan pergerakan pelawat domestik dan antarabangsa.
Pertumbuhan pelancongan domestik Malaysia, katanya dijangka berkembang dengan didorong oleh keyakinan pengguna yang berterusan, permintaan perjalanan yang tinggi dan sambutan musim perayaan akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial