AM > BERITA

RM1.836 Bilion Perbelanjaan Pembangunan Untuk Terengganu Tahun Ini - PM

21/03/2025 09:28 PM

CHUKAI, 21 Mac (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM1.836 bilion sebagai Perbelanjaan Pembangunan di Terengganu bagi tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbelanjaan di bawah Belanjawan 2025 itu meningkat berbanding yang telah diperuntukkan pada 2024 iaitu sebanyak RM1.597 bilion.

“Peruntukan ini menunjukkan terdapat pertambahan sebanyak RM239 juta berbanding peruntukan tahun 2024,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Terengganu di pekarangan Masjid Sultan Ahmad di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan kepimpinan negeri.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata berdasarkan data Sistem MyProjek setakat 10 Mac lepas, sebanyak 432 projek telah diluluskan di Terengganu.

Selain itu, Perdana Menteri berkata sebanyak 1,363 projek di seluruh negara telah siap dengan kos keseluruhan RM60.10 bilion dan daripada jumlah itu, 83 adalah di Terengganu yang menelan belanja RM1.826 bilion. 

Anwar juga berkata kerajaan telah memperuntukkan RM2.243 bilion bagi pelbagai projek tebatan banjir dan pemuliharaan muara sungai atau hakisan pantai di Terengganu. 

"Daripada jumlah tersebut, sebahagian besar peruntukan terdiri daripada projek pemuliharaan muara sungai dengan nilai keseluruhan RM999.86 juta.

“Selebihnya merupakan projek-projek di bawah Rancangan Tebatan Banjir sebanyak RM581.39 juta serta Projek Loji Rawatan Kumbahan dan Rangkaian Paip Pembetungan bernilai RM662.26 juta,” katanya.

Beliau berkata segala projek tersebut dapat dilaksanakan kerana hubungan baik yang terjalin antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri selama ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan