AM > BERITA

Nanta Ulangi Amaran Tegas Kepada Syarikat Konsesi Penyenggaraan Jalan

24/03/2025 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengulangi amaran tegas kepada semua syarikat konsesi penyenggaraan jalan raya untuk melaksanakan tanggungjawab mereka, bagi mengelak insiden kemalangan maut daripada terus berlaku.

Menyentuh insiden meragut nyawa dua adik-beradik di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara, Johor pada Jumaat lepas, beliau berkata tindakan jangka panjang amat diperlukan walaupun syarikat konsesi telah diarahkan membuat kerja tampalan segera.

“Tindakan tidak boleh lagi bersifat reaktif, tetapi mestilah proaktif. Pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) harus mengambil tindakan segera, bagi mengurangkan risiko kemalangan melibatkan aset jalan raya seliaan kementerian ini.

“Seiring peredaran zaman dan kecanggihan teknologi, sudah tiba masanya syarikat konsesi beradaptasi dengan teknologi terkini dalam sistem pemantauan laluan senggaraan mereka, agar tiada lagi lokasi terlepas pandang daripada radar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pada 21 Mac, media melaporkan dua adik-beradik Norhazim Kamaruzaman, 17, dan Nur Alif Ikhwan, 16, maut akibat parah di kepala serta badan selepas motosikal ditunggang terlanggar lubang semasa dalam perjalanan ke sekolah.

Mengulas lanjut, Nanta memaklumkan telah memanggil pegawai JKR bagi mendapatkan laporan dan maklumat lebih terperinci berkenaan nahas itu. 

Pada perbincangan tersebut, beliau dimaklumkan terdapat pelbagai kerosakan di laluan terbabit, yang memerlukan peruntukan tambahan bagi pelaksanaan pembaikan jangka panjang dan kekal.

“Laluan sepanjang 7.7 kilometer itu turut menjadi laluan utama lori serta kenderaan berat keluar masuk kawasan Felda dan memerlukan lebih kurang RM8 juta bagi pelaksanaan kerja pembaikan kekal.

“Peruntukan tambahan ini akan diangkat kepada Kementerian Kewangan bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Nanta berkata laporan penuh kemalangan akan dikemukakan dalam masa terdekat selepas menerima laporan lengkap siasatan polis, selain JKR juga menghantar pasukan forensik untuk membuat siasatan terperinci.

Sementara itu, berhubung kejadian hakisan tanah berhampiran Jambatan Jalan Bunga Raya di Felda Air Tawar 1, Kota Tinggi, Johor semalam, Nanta berkata peruntukan tambahan sebanyak RM800,000 diperlukan bagi melaksanakan kerja pembaikan kekal di situ.

Nanta berkata hakisan tanah itu menyebabkan benteng jambatan dan approach bridge runtuh, melibatkan kawasan sepanjang 20 meter dengan kedalaman dianggarkan tiga meter menyebabkan jalan tersebut ditutup kepada semua kenderaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan