EKONOMI > BERITA

AXIATA, SINAR MAS PEROLEH KELULUSAN BAGI PENGGABUNGAN TIGA SYARIKAT

26/03/2025 01:34 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Axiata Group Bhd dan Sinar Mas mengumumkan pemegang saham PT XL Axiata Tbk, PT Smartfren Telecom Tbk dan PT Smart Telcom (SmartTel) telah meluluskan penggabungan ketiga-tiga syarikat itu menjadi XLSMART secara rasmi.

Penggabungan itu menandakan satu pencapaian penting dalam sektor telekomunikasi Indonesia.

Dalam kenyataan bersama, pihak-pihak telibat menjelaskan kelulusan itu diperoleh pada mesyuarat agung luar biasa pemegang saham XL Axiata, Smartfren dan SmartTel yang diadakan pada Selasa.

Ini susulan kelulusan kawal selia secara prinsip daripada Kementerian Komunikasi dan Digital Indonesia serta kelulusan Bursa Saham Indonesia (BEI) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan (OJK) Indonesia, mengukuhkan lagi sokongan institusi untuk penyatuan strategik itu.

Kelulusan itu menandakan keyakinan pemegang saham terhadap potensi gabungan XL Axiata dan Smartfren, mengukuhkan komitmen mereka untuk memacu industri telekomunikasi yang lebih bersepadu, cekap dan inovatif, tambahnya.

“Berasaskan sokongan pemegang saham ini, XLSMART akan meneruskan peranan penting yang dilaksanakan XL Axiata dan Smartfren dalam pembangunan Indonesia melalui industri telekomunikasi yang penting.

“Langkah menggabungkan infrastruktur dan capaian XL Axiata yang luas dengan inovasi digital Smartfren, XLSMART lebih mampu memberi perkhidmatan kepada pengguna dan perniagaan dalam era pendigitalan,” menurut pihak-pihak itu.

Selepas penggabungan itu selesai, Axiata Group dan Sinar Mas akan menjadi pemegang saham kawalan bersama, masing-masing memegang 34.8 peratus kepentingan dalam XLSMART, dengan pengaruh yang sama ke atas hala tuju dan keputusan strategiknya.

“XLSMART berada pada kedudukan yang baik untuk menerajui fasa pertumbuhan seterusnya dalam sektor telekomunikasi Indonesia, dengan asas pelanggan melebihi 94.3 juta dan unjuran perolehan tahunan berjumlah IDR 45.8 trilion (IDR1 juta=RM266.9).

“Penggabungan penting ini juga dijangka merealisasikan sinergi kos yang ketara, dengan unjuran sinergi pracukai tahunan sebanyak US$300 juta-US$400 juta (US$1=RM4.43) pasca penggabungan selesai,” tambahnya.

Pihak-pihak itu memaklumkan Rajeev Sethi telah dilantik sebagai Presiden Direktor dan Ketua Pegawai Eksekutif XLSMART, akan disokong oleh pasukan eksekutif yang mantap merangkumi sembilan pengarah dan sembilan pesuruhjaya, memastikan perwakilan yang seimbang daripada XL Axiata dan Smartfren.

“Rajeev memiliki pengalaman yang luas dan berjaya dalam mengubah syarikat telekomunikasi dalam pasaran yang sedang pesat membangun yang akan membantu XLSMART merealisasikan nilai sinerginya,” jelasnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan