MARANG, 24 Mac (Bernama) -- Sebanyak 62 banduan di Penjara Marang di sini dibebaskan menerusi program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Pengarah Penjara Marang Mohamad Jusoh Ismail berkata pihaknya menyasarkan untuk membebaskan 1,800 banduan melalui program berkenaan tahun ini.
“Program pembebasan ini kita sertakan juga dengan penempatan pekerjaan. Hampir 100 peratus banduan yang dilepaskan sudah mempunyai kerja dengan pemantauan ketat oleh pihak berkuasa,” katanya.
Seorang banduan Zaffran, 23, berkata dia amat berterima kasih kepada Penjara Marang dan kerajaan Malaysia atas ihsan yang sangat besar ini, sekali gus bersyukur kerana diberi peluang kedua.
Zaffran yang dimasukkan ke penjara pada Februari lepas kerana terlibat dalam aktiviti penipuan dalam talian mengaku telah insaf dan berazam untuk mencari rezeki dengan cara halal.
“Saya mula terbabit dengan aktiviti penipuan setelah ditawarkan bayaran lumayan oleh satu sindiket sekitar hujung tahun lepas.
“Dalam tempoh itu, saya telah memperdaya lebih 10 orang dengan nilai kerugian tertinggi RM78,000. Saya amat menyesal kerana mudah diumpan dengan wang sehingga sanggup menipu dan menganiayai orang ramai yang tidak bersalah,” katanya ketika ditemui pada program itu di Penjara Marang di sini hari ini.
Zaffran berkata selain penipuan, dia juga pernah menjadi keldai akaun dengan bayaran RM3,000 sebulan.
Bagi Zuki, 49, pula, dia amat bersyukur kerana dapat menjalani ibadah puasa bersama keluarganya di kampung selepas dibebaskan dari Penjara Marang.
Bagaimanapun, Zuki yang dimasukkan ke penjara kali kedua atas kesalahan dadah berasa amat sedih kerana tidak dapat menatap wajah arwah ibunya yang meninggal dunia awal Mac lepas.
“Saya memang sangat rapat dengan mak… kali terakhir jumpa pada Disember tahun lepas.
“Ketika mak meninggal dunia, saya tak dapat pelepasan untuk pulang. Jadi, perkara pertama yang saya nak buat selepas dibebaskan adalah melawat kubur arwah mak di Dungun,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial