KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Koperasi Bernama Berhad dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) buat julung kalinya menganjurkan Jualan MADANI bersempena dengan program Bazar Ramadan di pekarangan Wisma Bernama di sini hari ini.
Pengerusi Koperasi Bernama Berhad Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata inisiatif itu bertujuan membantu masyarakat khususnya petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan, di samping menyokong penglibatan koperasi dalam aktiviti ekonomi lebih inklusif.
Beliau berkata program itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan memperkasakan peranan koperasi sebagai pemacu ekonomi rakyat.
“Jualan MADANI ini bukan sekadar usaha menawarkan harga lebih berdaya saing, tetapi juga platform bagi koperasi menunjukkan peranan strategiknya dalam menyokong kesejahteraan masyarakat.
“Penyertaan koperasi dalam aktiviti seperti ini mampu memperkukuh daya saing mereka dalam sektor perniagaan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada usahawan koperasi untuk memperkenalkan produk usahawan kecil kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut hadir di perkarangan Wisma Bernama hari ini ialah wakil SKM Wilayah Persekutuan, diketuai Pengarahnya Fadilah Salim, Penolong Pengarah Aisyah Ismail dan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan) Siti Sara Hassan.
Program bermula 9 pagi itu menampilkan pelbagai produk tempatan termasuk bahan makanan asas, produk segar dan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak dan tepung pada harga berpatutan.
Zakaria berharap inisiatif itu akan menjadi permulaan kepada lebih banyak program jualan seumpamanya pada masa depan, bukan sahaja pada Ramadan tetapi juga sepanjang tahun.
“Koperasi Bernama komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam memperkasakan ekonomi komuniti,” katanya.
Beliau berkata kerjasama dengan SKM dalam penganjuran Jualan MADANI membuktikan bahawa koperasi mempunyai potensi besar dalam merancakkan ekonomi rakyat, dan penglibatan lebih banyak koperasi dalam usaha seperti ini membolehkan ekosistem koperasi di Malaysia menjadi lebih mampan dan berdaya maju.
“Koperasi Bernama berharap program ini akan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat dan menjadi contoh kepada koperasi lain untuk turut serta dalam inisiatif ekonomi yang memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial