KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Agrobank mencatat rekod penyaluran pembiayaan tertinggi sebanyak RM10.44 bilion yang merentasi semua sektor pada 2024.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata prestasi itu menunjukkan pertumbuhan ketara sebanyak 25.46 peratus yang mengatasi pertumbuhan tahun sebelumnya (2023) sebanyak 15.97 peratus.
Jumlah portfolio pembiayaan juga meningkat sebanyak RM1.2 bilion yang juga kenaikan memberangsangkan sebanyak 72.08 peratus berbanding pencapaian pertumbuhan pada 2023.
"Peningkatan ini didorong oleh prestasi luar biasa dicapai oleh tiga segmen perniagaan utama termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berjumlah RM547.68 juta (atau 161.08 peratus melebihi sasaran).
“Ini turut mencakupi segmen Ar-Rahnu dengan RM186.92 juta (155.76 peratus melebihi sasaran) manakala segmen mikro berjumlah RM181.21 juta (100.67 peratus mengatasi sasaran),” katanya kepada pemberita pada Majlis Sidang Media Prestasi Agrobank 2024 dan Hala Tuju 2025 di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Tengku Ahmad Badli Shah berkata bagi 2025, Agrobank menyasarkan penyaluran pembiayaan sebanyak RM12 bilion atau peningkatan sebanyak RM1.6 bilion dengan segmen-segmen seperti peningkatan pengeluaran automasi, industri ruminan serta industri mikro.
Selain itu, baki deposit juga menunjukkan pertumbuhan sihat dan mencecah paras tertinggi dalam tempoh lima tahun iaitu RM13.25 bilion.
Prestasi kukuh Agrobank dalam aktiviti pengumpulan deposit juga dapat dilihat pada nisbah jumlah akaun simpanan akaun semasa (CASA) di paras 44 peratus daripada jumlah deposit dan mengatasi purata industri perbankan sebanyak 31 peratus.
"Jumlah pendapatan juga pada trajektori positif, mencapai RM1.26 bilion dengan pertumbuhan 9.32 peratus berbanding tahun sebelumnya yang juga pencapaian tertinggi dalam tempoh tiga tahun," katanya.
Pencapaian itu, katanya, disumbangkan oleh pertumbuhan stabil dalam pembiayaan dan pendapatan sampingan daripada pelaburan (naik sebanyak 22.8 peratus), usaha pemulihan (naik sebanyak 9.67 peratus) serta pendapatan berasaskan yuran (menokok 9.95 peratus).
Pada 2024, Agrobank menyalurkan pembiayaan untuk usahawan bumiputera, sebahagian besarnya kepada segmen PKS berjumlah RM222.97 juta (40 peratus) dan diikuti segmen korporat sebanyak RM209.84 juta (38 peratus) serta segmen mikro RM121.47 juta (22 peratus).
Tengku Ahmad Badli Shah berkata bagi tahun ini, Agrobank menyasarkan pembiayaan PKS berjumlah RM600 juta.
“Bagi segmen PKS, sektor sokongan menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM96.38 juta manakala sektor penternakan menerima RM54.08 juta. Bagi segmen korporat, sebanyak RM201.83 juta disalurkan kepada sektor pemprosesan berasaskan pertanian,” katanya.
Menjelang 2025, beliau berkata Agrobank akan meluaskan inisiatif untuk merangsang pemodenan sektor pertanian melalui penyelesaian kewangan berpatutan serta program menggalakkan penggunaan teknologi pertanian pintar, sistem pertanian tepat dan Industri 4.0.
Bank itu akan turut memperkukuh komitmen terhadap keterangkuman kewangan, menyokong peralihan sektor pertanian ke arah aktiviti lebih lestari dan mengintegrasikan penilaian risiko iklim dalam amalan pemberian pinjaman utama.
“Ini sekali gus menarik serta mencungkil bakat yang akan terus memajukan agenda pembangunan Agrobank dalam sektor pertanian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial