AM > BERITA

Jangan Gantung Objek Lain Pada Sistem Semburan Air Automatik - Bomba

24/03/2025 06:31 PM

ALOR SETAR, 24 Mac (Bernama) -- Pemilik premis diingatkan supaya tidak menghalang atau menggantung objek lain pada sistem semburan air automatik kerana boleh menyebabkan alat berkenaan tidak dapat berfungsi dengan baik jika berlaku kebakaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata jika alat itu terjejas, ia akan menyukarkan proses pemadaman api pada peringkat awal kebakaran yang dapat mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

"Pemeriksaan bomba sebelum ini mendapati ada yang gantung objek lain seperti perhiasan, lampu dan benang pada sistem semburan air automatik dan ada yang tutup terus alat itu. Kita nasihatkan jangan buat begitu kerana bimbang ia rosak, mungkin ia masih boleh berfungsi tetapi tidak secara menyeluruh.

“Kita juga mohon supaya pihak yang mengusahakan tempat penginapan seperti hotel atau motel untuk memastikan tahap keselamatan di premis mereka berada dalam keadaan baik. Pada musim perayaan ini hotel akan penuh, jadi tahap keselamatan mesti ditingkatkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pelancaran Pemeriksaan Bangunan Bagi Tujuan Menghapuskan Bahaya Kebakaran dan Kempen Keselamatan Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Kedah.

Awang Hidzel berkata tujuan utama program itu diadakan bagi meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat menjelang musim perayaan serta pihaknya akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas bangunan strategik bagi menghapuskan sebarang bahaya kebakaran.

“Pemeriksaan bangunan ini menumpukan kepada sistem pepasangan keselamatan kebakaran aktif dan pasif, peralatan pemadaman dan menentang kebakaran serta laluan kecemasan dan pintu keluar. Ini adalah bagi memastikan keselamatan semua pihak dalam keadaan baik dan terjaga.

“Sempena musim perayaan ini juga, saya ingin berpesan kepada orang ramai yang hendak meninggalkan rumah dan pulang ke kampung supaya mematikan semua suis utama peralatan elektrik, menutup injap gas dapur dengan sempurna dan memastikan laluan keluar dan masuk rumah tidak terhalang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi tempoh Jan hingga semalam, 958 panggilan kecemasan berhubung kebakaran telah direkodkan dan pada Mac sahaja 523 panggilan direkodkan dengan kenaikan kebakaran sebanyak 7.8 peratus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan