DUNIA > BERITA

SEKRETARIAT ASEAN JAMIN SOKONGAN TERHADAP VISI KOMUNITI ASEAN 2045

26/03/2025 04:44 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 26 Mac (Bernama) -- Sekretariat ASEAN telah memberi jaminan sokongan kepada negara-negara anggotanya dalam usaha membangunkan Komuniti ASEAN bagi fasa seterusnya selepas 2025.

Menurut Sekretariat, komitmen itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dalam pertemuannya dengan Menteri Luar Indonesia Sugiono di kementerian pada Selasa.

Visi Komuniti ASEAN 2045 dan pelan strategiknya dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada Mei ini.

Sekretariat turut memaklumkan bahawa isu-isu utama lain yang dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk persiapan bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN serta hubungan luar ASEAN.

Kao juga mengambil kesempatan untuk memaklumkan kepada Sugiono mengenai aktiviti utama yang dirancang diadakan di Ibu Pejabat ASEAN tahun ini, termasuk sambutan Hari ASEAN.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar Indonesia menyatakan bahawa Sugiono menghargai kemajuan yang dicapai Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Visi Komuniti ASEAN dalam memperkukuh sinergi merentas sektor dalam ASEAN.

“Saya menekankan kepentingan Visi Komuniti ASEAN 2045 sebagai pelan hala tuju strategik untuk memajukan Komuniti ASEAN,” katanya.

Pertemuan Sugiono dengan Kao adalah yang kedua seumpamanya tahun ini, selepas pertemuan mereka pada Januari lalu yang turut membincangkan pelbagai isu strategik serta peranan aktif Indonesia dalam memajukan Komuniti ASEAN.

Menteri itu turut menegaskan komitmen Indonesia dalam menyokong keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN, termasuk melalui penubuhan Unit Timor-Leste di Ibu Pejabat ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan