KUALA TERENGGANU, 24 Mac (Bernama) -- Pengumuman Kementerian Kewangan (MOF) yang bersetuju membiayai Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) kepada lebih 14,000 penjawat awam Kerajaan Negeri Terengganu, menyerlahkan semangat federalisme antara kedua-dua pihak, meskipun berbeza aliran politik.
Seorang penjawat awam negeri Muhammad Al Abror Amir, 30, berkata pemberian itu juga, menunjukkan kesediaan kerajaan MADANI mengetepikan perbezaan politik antara Kerajaan Pusat dan negeri, bagi memastikan penjawat awam negeri dapat meraikan momen Aidilfitri yang kian hampir.
“Tidak timbul isu politik mana yang lebih atau yang kurang. Pokok pangkalnya beban kewangan penjawat dapat diringankan dalam menghadapi terutamanya dalam menghadapi isu kenaikan harga barang ketika ini.
“Dari sudut pandang rakyat, tak kiralah politik apa pun, kami terpaksa hidup. Yang susah dan sesak itu rakyat. Tetatpi dengan pengumuman hari ini, saya sangat bersyukur kerana BKKA ini dapat meringankan beban kami,” katanya yang bertugas di Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) kepada Bernama hari ini.
MOF menerusi kenyataan hari ini memaklumkan BKKA sebanyak RM500 itu akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri, bagi menyerikan persiapan menyambut lebaran susulan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ke Terengganu pada 21 Mac.
Sementara itu, Suriati Ali, 44, yang bertugas sebagai Pembantu Penerangan di Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu pula berkata pemberian berkenaan, membuktikan kerajaan Persekutuan tidak mengamalkan politik pilih kasih terutamanya apabila membabitkan kebajikan penjawat awam.
Beliau yang sudah 15 tahun dalam perkhidmatan awam negeri berkata BKKA juga memberikan isyarat bahawa penjawat awam di negeri pembangkang tidak perlu merasa terpinggir.
“Walaupun banyak isu dan kami ini berkhidmat untuk pentadbiran pembangkang, tapi Alhamdulilah kerajaan tetap prihatin. Tidak dinafikan pada awalnya ada yang terasa dipilih kasih, tapi tidak. Semua penjawat awam dapat manfaat yang sama,” katanya.
Suriati berkata wang berkenaan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memenuhi persiapan Aidilfitri, terutamanya sebagai seorang ibu yang bertanggungjawab melakukan persiapan raya untuk lima orang anaknya.
Meskipun RM500 mungkin dilihat hanya jumlah kecil bagi sesetengah orang, namun bagi beliau sekeluarga jumlah itu merupakan satu rezeki yang amat bermakna lebih-lebih suaminya hanya menjalankan perniagaan sendiri.
“Apa-apa pun, sekali lagi ini menunjukkan kerajaan negeri dan pusat boleh bekerjasama dengan baik terutamanya melibatkan soal kebajikan pekerja. Harap ia dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial