KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegur sikap sesetengah penjawat awam daripada mana-mana kementerian atau jabatan kerajaan yang lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu dalam menamakan program, premis, kursus mahupun kempen.
Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari berkata teguran juga diberikan kepada penganjur dan pihak pengurusan yang menggunakan bahasa Inggeris dalam acara rasmi kerajaan yang dihadiri oleh rakyat Malaysia.
“Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan kedudukan bahasa Melayu bagi urusan rasmi di jabatan kerajaan, bertepatan dengan peruntukan yang termaktub dalam Perkara 152(6).
“Orang yang tidak mendaulatkan dan menggunakan bahasa Melayu dalam urusan kerajaan adalah orang yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Beliau berkata penggunaan bahasa Inggeris jelas dan rancak dipopularkan untuk paparan umum seperti nama program Back to School dan KL Car Free Morning, sedangkan sudah tentu majoriti yang terlibat dalam program tersebut adalah rakyat Malaysia.
Hazami turut mempersoalkan tindakan penganjur program yang menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris kerana hanya terdapat dua atau tiga orang sahaja peserta asing yang menghadiri mana-mana program yang dianjurkan.
“Kalau kita pergi ke China, Perancis, Jerman misalnya, mereka akan gunakan bahasa kebangsaan mereka, bahasa ibunda mereka. Kita yang perlu cari penterjemah kalau ingin memahami apa-apa yang mereka cakapkan.
“Negara maju lebih menghormati bahasa mereka, sekiranya kita ingin menjadi sebuah negara yang maju, hormatilah bahasa kebangsaan kita sendiri,” katanya.
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menegaskan peranan bahasa kebangsaan perlu digunakan dalam urusan rasmi.
Akta Pendidikan 1996 pula memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial