AM > BERITA

Malaysia Perlu Percepat Eksplorasi Dan Aplikasi Teknologi AI - PM Anwar

24/03/2025 08:35 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Malaysia perlu mempercepat eksplorasi dan aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan menggalakkan inovasi dan mengadaptasi pendekatan rentas kementerian dan agensi secara menyeluruh.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat dipengerusikannya hari ini, mengenai Strategi Teknologi AI dan aset digital yang berpotensi memupuk pertumbuhan ekonomi negara lebih mampan.

“Saya titip pesanan, masih terdapat beberapa bidang yang Malaysia berpotensi menjadi peneraju terutama dalam aset digital Islam dan industri halal, namun keputusan berkenaan perkara ini perlu segera dibuat dan dilaksanakan.

“Penekanan perlu dibuat khususnya berkaitan ancaman siber dan juga membina keyakinan dalam kalangan industri dan institusi,” kata beliau dalam hantaran di Facebook hari ini.

Justeru Anwar percaya kerjasama secara aktif antara Kementerian Digital; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Kewangan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti melalui sebuah platform khas, dapat menyelaras pendekatan itu dengan lebih sistematik serta menyeluruh.

Perdana Menteri berkata kerjasama itu juga kemudiannya dapat memacu ekonomi supaya negara kekal kompetitif dan efektif.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan