SEREMBAN, 25 Mac (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan akan meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di tujuh kawasan 'hotspot' kesesakan atau kerap berlaku kemalangan di negeri ini menerusi Op Hari Raya (Op HRA) 2025 sehingga 8 April ini.
Pengarahnya Hanif Yusabra Yusuf berkata kawasan berkenaan ialah Jalan Seremban-Mantin-Pajam-Nilai; Jalan Seremban-Mambau-Lukut-Port Dickson-Tanah Merah; Jalan Senawang-Sungai Gadut-Pedas-Rembau-Tampin; Jalan Paroi-Kuala Pilah-Batu Kikir; Jalan Serting-Palong; Jalan Serting-Pasir Besar dan Jalan Serting-Kemayan.
“Pasukan penguat kuasa akan membuat rondaan di semua laluan tersebut bagi penguatkuasaan dan Perception of Being Caught (POBC). Ini kerana dengan kehadiran pasukan penguat kuasa, pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati serta mematuhi peraturan sekali gus menjadikan jalan raya lebih selamat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata selain jumlah pasukan ronda mengikut syif di laluan tersebut ditingkatkan, pihaknya juga akan menggerakkan pasukan penguatkuasaan secara covert (preman bergerak) bagi mengekori dan merakam kesalahan lalu lintas selain membuat penyamaran sebagai penumpang bas bagi mengesan pemandu yang gagal mematuhi peraturan.
“Kaedah itu bertujuan menimbulkan kesedaran kepada semua pemandu bahawa mereka sentiasa diperhatikan dan dikenakan tindakan sekiranya melakukan kesalahan lalu lintas,” katanya dan menambah seramai 210 anggota penguat kuasa ditugaskan sepanjang Op tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial