DUNIA > BERITA

SERANGAN UDARA BAHARU ISRAEL KE ATAS GAZA, BUNUH SEKURANG-KURANGNYA 20 RAKYAT PALESTIN

28/03/2025 12:04 AM

GAZA CITY/ISTANBUL, 27 Mac (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 20 lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara baharu Israel di Semenanjung Gaza pada Khamis di tengah-tengah serangan maut berterusan di kawasan itu, lapor Anadolu Ajansi, memetik sumber perubatan.

Pesawat tempur Israel menyerang sebuah rumah di kawasan kejiranan Al-Saftawi, utara Bandar Gaza, menyebabkan tujuh orang terbunuh, kata sumber perubatan.

Seorang rakyat Palestin juga terbunuh dalam satu lagi serangan udara yang menyasarkan sebuah rumah berhampiran Universiti Al-Quds di Bandar Gaza, tambahnya.

Satu lagi sumber perubatan berkata bahawa dua lagi mangsa, termasuk seorang orang kurang upaya, terbunuh akibat tembakan tentera Israel di selatan Bandar Gaza.

Tujuh lagi nyawa terkorban dan dua lagi cedera dalam serangan lain yang menyasarkan sebuah rumah di bandar utara Beit Lahia, menurut sumber itu.

Seorang kanak-kanak Palestin juga terbunuh, dan ahli keluarganya cedera, dalam pengeboman Israel ke atas rumah mereka di bandar selatan Khan Younis.

Jet pejuang Israel juga membedil sebuah khemah yang melindungi orang yang dipindahkan, membunuh seorang dan mencederakan beberapa yang lain di Al-Mawasi di Khan Younis, kata sumber perubatan.

Pegawai perubatan melaporkan bahawa jurucakap Hamas Abdel-Latif al-Qanoua terbunuh dalam serangan udara Israel di bandar utara Jabalia pada awal Khamis.

Tentera Israel juga membedil kawasan timur Bandar Gaza dan Khan Younis, kem pelarian Bureij dan Nuseirat di tengah Gaza, dan Beit Hanoun dan Beit Lahia di utara kawasan itu, kata saksi.

Tentera Israel melancarkan kempen udara mengejut di Semenanjung Gaza pada 18 Mac, membunuh 855 orang, mencederakan hampir 1,900, dan mencabuli gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas yang telah berlangsung pada Januari.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 124,000 rakyat Palestin telah dipindahkan semula sejak Israel menyambung semula serangannya ke atas Gaza.

Lebih 50,200 rakyat Palestin telah terkorban - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak - dan lebih 113,900 cedera dalam serangan kejam tentera Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan