AM > BERITA

Saari Abadikan Kemahiran Bertukang Pada Replika Rumah Tradisional 

25/03/2025 10:35 AM

Oleh Razif Rosli

IPOH, 25 Mac (Bernama) -- Puluhan tahun dahulu, Saari Ali sering mengikut arwah bapanya, Ali Mat Rashid mengambil upah bertukang menyiapkan rumah. 

Dari situ Saari, 70, mengasah bakat dalam kerja-kerja pertukangan kayu terutama seni bina rumah tradisional Melayu hingga dikenali sebagai antara tukang rumah yang dikagumi kerana ketelitian hasil kerja tangannya. 

Selepas 40 tahun berlalu, warga emas yang berasal dari Gopeng itu masih menukang rumah namun disebabkan kudrat yang semakin berkurang dia kini hanya menumpu kepada menghasilkan rumah mini atau rumah replika.

Pengalaman dan kemahiran membuat rumah yang diwarisi daripada ayahnya memberi kelebihan kepada Saari untuk menghasilkan replika rumah tradisional persis reka bentuk asal tanpa menggunakan sebarang lakaran mahupun lukisan sebelum memulakan kerja. 

Bapa kepada empat anak itu berkata untuk menghasilkan replika rumah, selain berpandukan gambar yang diambil ketika berkunjung ke kawasan kampung ia juga berdasarkan gambar yang diberikan pelanggan untuk dijadikan contoh. 

"Saya sendiri tidak sangka hasil kerja seni mengubah kepingan kayu menjadi replika rumah mini mampu  menjadi sumber rezeki buat keluarga saya. 

"Pada asalnya, saya hanya mengikut ayah membuat kerja tukang dan dari situ timbul minat atau rasa teruja untuk menghasilkan replika rumah tradisional Melayu," katanya ketika ditemui Bernama di Galeri Tisha, di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini hari ini. 

Saari berkata kebanyakan replika rumah tradisional ciptaannya adalah untuk mengimbau kenangan bersama ayahnya sebagai tukang rumah selain minat mendalam dalam seni bina rumah tradisional. 

"Kebiasaannya jika seseorang itu bekerja sebagai tukang rumah maka mudah bagi dia untuk jadi pembuat replika rumah tradisional kerana asas kemahiran sudah ada. 

"Saya tidak belajar (secara formal) daripada sesiapa pun, sebaliknya banyak bergantung kepada pengalaman sebagai tukang rumah bersama arwah ayah," katanya yang juga berkebolehan menghasilkan lukisan minyak di atas kanvas. 

Saari berkata setiap replika yang dihasilkan mempunyai identiti tersendiri mewakili contoh rumah di sesebuah kampung yang dilawati khususnya di Perak. 

"Kalau kita pergi ke Kampung Gajah, Parit atau Kuala Kangsar rumah tradisional ini mempunyai identiti tersendiri, memang masing-masing ada sedikit perbezaan dan itu membuatkan berazam untuk hasilkan replika setiap jenis rumah tradisional yang ada di Perak. 

"Kalau permintaan pelanggan pula, saya banyak mendapat tempahan jenis rumah tradisional seperti rumah Melaka, Johor termasuk Minangkabau di Negeri Sembilan yang sering mendapat permintaan tinggi," katanya.

Saari berkata lazimnya dia mengambil masa tiga minggu hingga ke sebulan untuk menyiapkan sebuah replika rumah bergantung kepada saiz replika rumah yang harus disiapkan. 

"Semua replika yang dihasilkan perlu diteliti dahulu perinciannya seperti tingkap, tiang, anak tangga, kerawang atau ukiran yang ada agar kelihatan sama dengan rumah asal. 

"Bukan boleh ikut kehendak sendiri sahaja kerana setiap replika rumah yang saya hasilkan merupakan replika rumah sebenar yang wujud malah menjadi hasrat saya mahu hasilkan lebih banyak replika rumah tradisional untuk tatapan generasi masa depan. 

"Mungkin ada anak muda sekarang yang tidak berkesempatan untuk merasai tinggal di rumah tradisional, malah jika sekarang kita pergi ke kampung, rumah di sana kebanyakan (rumah tradisional) sudah tidak berpenghuni," katanya. 

Saari  berkata kebiasaan replika rumah yang dihasilkan bersaiz 0.3 meter tinggi dan lebar dengan 0.6 meter panjang yang setiap satu dijual pada harga antara RM1,000 hingga RM5,000 bergantung kepada saiz serta jenis rumah. 

"Lagi kecil replika rumah itu, lagi mahal harganya kerana rumit dalam penghasilan dan memang kebiasaan replika dibeli oleh pihak yang mempunyai duit lebih sebab minat mereka kepada seni ini," katanya. 

Saari berkata jauh di sudut hatinya berharap agar ada yang akan mewarisi seni tersebut walaupun berdasarkan pemerhatiannya minat golongan muda terhadap kemahiran menghasilkan replika rumah tradisional tidak memberangsangkan.

Hingga ke hari ini, dia berkata belum ada golongan muda datang ke galerinya di Pasar Besar Ipoh yang dibuka sejak 1983 untuk menuntut ilmu dan sekiranya keadaan itu berterusan, kemahiran itu akan lenyap begitu sahaja.  

Galeri yang dinamakan Galeri Tisha sempena nama anak perempuannya Nur Fatisha, selain menjadi tempat menghasilkan replika juga sebagai ruang untuk Saari melukis bersama anak perempuannya yang turut meminati seni lukisan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan