KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin dan Selasa (31 Mac dan 1 April) depan bersempena cuti umum Aidilfitri, tertakluk kepada pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Raja-Raja.
Dalam kenyataannya hari ini, pengendali bursa saham itu berkata kedua-dua pasaran sekuriti dan derivatif akan beroperasi semula pada Rabu (2 April) jika Aidilfitri pada 31 Mac dan 1 April.
Menurutnya, jika hari pertama Aidilfitri sebaliknya jatuh pada 1 April (Selasa) dan hari kedua pada 2 April, 2025, Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada 1-2 April (Selasa dan Rabu) dan beroperasi semula pada 3 April (Khamis).
"Kedua-dua pasaran sekuriti dan derivatif akan beroperasi dalam waktu dagangan biasa pada 31 Mac (Isnin).
“Bagaimanapun, tiada sesi Dagangan Malam T+1 untuk pasaran derivatif pada tarikh itu," katanya.
Pasaran utama Bursa Gold Dinar dan Bursa Suq Al-Sila' akan kekal dibuka untuk dagangan ketika cuti umum itu, kata Bursa Malaysia.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan