AM > BERITA

Pengorbanan Anggota PDRM Tidak Ternilai, Kerajaan Tawar Insentif Rebat Rahmah - Fahmi

25/03/2025 01:33 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Pengorbanan dan jasa dicurahkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak ternilai harganya, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil. 

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata walaupun berdepan dengan pebagai cabaran serta pahit getir, pasukan Sang Saka Biru itu terus berdiri teguh memastikan keamanan dan keharmonian negara.

Dalam menyampaikan ucapan selamat menyambut Hari Polis, Fahmi berharap Insentif Rebat Rahmah pascabayar dan prabayar bil telefon kepada mereka sempena sambutan Hari Polis ke-218 hari ini, sedikit sebanyak dapat menceriakan mereka, lebih-lebih lagi dengan sambutan Aidilfitri yang semakin hampir.

“Teruslah berkhidmat dengan penuh adil, dedikasi, amanah dan integriti, demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Pemberian Insentif Rebat RAHMAH dilaksanakan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi kepada anggota beruniform serta awam yang berkhidmat dengan PDRM, dan ia akan memberi manfaat kepada lebih 127,000 orang.

Menerusi insentif itu, anggota PDRM yang mendaftar pelan pascabayar akan menikmati rebat dalam bentuk tanggungan pembayaran bil selama sebulan sama ada pada bulan April, Mei atau Jun, bergantung kepada tarikh kitaran bil penerima rebat.

Anggota PDRM yang melanggan pakej prabayar pula akan menerima tambah nilai prabayar minimum RM30 secara sekali bayar dan kaedah pemberian rebat adalah berbeza mengikut syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Bagi anggota PRDM yang belum mengemas kini nombor telefon pelan pascarbayar atau prabayar, mereka hendaklah berbuat demikian menerusi pengurusan sumber manusia masing-masing sebelum 10 April untuk menikmati Insentif Rebat RAHMAH tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan