AM > BERITA

Aidilfitri: Kementerian Komunikasi Umum Insentif Rebat RAHMAH Pada Hari Raya Pertama

26/03/2025 04:29 PM

PUTRAJAYA, 26 Mac (Bernama) -- Kerajaan MADANI melalui Kementerian Komunikasi hari ini mengumumkan pemberian insentif rebat RAHMAH kepada semua pengguna perkhidmatan telekomunikasi warga Malaysia pada Hari Raya pertama.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata pemberian insentif rebat RAHMAH itu berbentuk tambahan kuota data minimum 5GB untuk pengguna prabayar dan pascabayar.

Beliau berkata tambahan kuota data itu sah bagi tempoh minimum 24 jam, tertakluk kepada terma dan syarat penawaran syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat.

“Usaha Kementerian Komunikasi dengan kerjasama strategik syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi ini sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI yang menitikberatkan nilai ihsan kepada rakyat.

“… (Ia) di samping mengeratkan silaturahim menerusi komunikasi dalam talian sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat adalah CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Pavo Comms, Tune Talk, redONE, REDtone dan XOX Com.

Ditanya jumlah kos bagi pelaksanaan insentif berkenaan, Fahmi berkata insentif rebat RAHMAH yang kali pertama diusahakan Kementerian Komunikasi itu ditanggung sepenuhnya oleh semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbabit.

“Tak… subsidi dan ia (insentif) bukan ditanggung kerajaan,” katanya sambil menambah jumlah akaun telekomunikasi yang berdaftar di Malaysia ialah sekitar 45 juta.

Maklumat lanjut mengenai insentif rebat RAHMAH Aidilfitri itu akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi. 

Senarai soalan lazim (FAQ) boleh dirujuk di laman sesawang Kementerian Komunikasi menerusi pautan https://www.komunikasi.gov.my/en/awam/faq.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan