AM > BERITA

Kerajaan Tidak Bercadang Melaksanakan Caj Kesesakan Setakat Ini - Loke

25/03/2025 03:38 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Kerajaan tidak bercadang melaksanakan caj kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur ke atas kenderaan persendirian buat masa ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya telah membincangkan perkara itu secara mendalam, dan mengambil maklum pandangan kementerian untuk memberi fokus kepada peningkatan mutu pengangkutan awam terlebih dahulu.

“Oleh itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak dan belum bercadang untuk melaksanakan caj kesesakan ke atas kenderaan persendirian buat masa ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Loke berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang ingin tahu jika kementerian akan mempertimbangkan pelaksanaan cukai caj kesesakan memandangkan isu sambungan First Mile dan Last Mile telah diselesaikan melalui perkhidmatan van transit atas permintaan.

Beliau berkata kajian pelaksanaan caj itu merangkumi mekanisme pelaksanaan, unjuran penurunan jumlah trafik serta peningkatan penggunaan pengangkutan awam sedang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC). 

MOT juga sedang melaksanakan Kajian Pelan Strategik Pengangkutan Awam Lembah Klang, antara lain turut merangkumi kajian Origin-Destination dan diharap dapat dijadikan penanda aras untuk meningkatkan mutu pengangkutan awam termasuk di negeri. 

“Ini kerana negara-negara maju hanya melaksanakan caj kesesakan setelah mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan