BATU PAHAT, 25 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mengesan lima kes tidak mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 pada hari pertama pelaksanaannya semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN negeri Mohd Fuzi Hadi Abd Latif berkata kesalahan itu melibatkan gagal mempamerkan tanda harga bagi barangan terkawal dan peruncit terlibat telah dikenakan kompaun yang keseluruhannya berjumlah RM500.
“Daripada 55 peruncit yang diperiksa di Johor semalam, dua peniaga masing-masing di Segamat dan Kota Tinggi serta seorang di Johor Bahru dikesan tidak mempamerkan tanda harga merah jambu (barang harga terkawal) seperti ditetapkan pada SHMMP.
“Johor menjadi negeri pertama yang merekodkan kesalahan berkenaan selepas SHMMP Aidilfitri 2025 dikuat kuasa bermula semalam hingga 7 April ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran SHMMP Aidilfitri 2025 di sebuah pasar raya di Bandar Parit Raja di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata pada SHMMP Tahun Baharu Cina 2025, sebanyak 123 kes telah diambil tindakan dengan nilai kompaun RM13,300 melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barang harga terkawal merupakan kesalahan yang paling banyak dilakukan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial