IPOH, 26 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan RM1.5 juta menerusi inisiatif bantuan Geran Usahawan Perak Sejahtera atau dikenali sebagai GeRAK bagi tahun ini yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 750 penerima.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed berkata geran itu akan disampaikan kepada usahawan sama ada dalam bidang pembuatan ataupun perkhidmatan, dalam bentuk pelbagai peralatan.
Beliau berkata permohonan untuk geran itu dibuka secara dalam talian pada 7 April depan dan beliau menyeru semua usahawan untuk mengikuti rapat laman Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) di media sosial bagi mengetahui pemakluman berkaitan pelbagai inisiatif termasuk geran GeRAK.
"Biasanya apabila kita buka tawaran-tawaran ataupun permohonan bantuan geran daripada kerajaan negeri, kadangkala usahawan-usahawan kita terlepas pandang,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran GeRAK 2025 bersempena majlis berbuka puasa di sini, malam tadi.
Sementara itu Salbiah berkata di Perak terdapat kira-kira 150,000 usahawan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mereka perlu mengisi borang permohonan bagi mendapatkan geran itu, di samping memenuhi keperluan serta syarat yang telah ditetapkan.
“Kita harap usahawan-usahawan dapat memenuhi syarat-syarat dan mengisi borang itu dengan baik dan lengkap, kerana banyak borang-borang yang kita terima sebelum ini terpaksa ditolak sebab usahawan kita tidak mengisi borang itu dengan maklumat yang lengkap," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial