JOHOR BAHRU, 26 Mac (Bernama) -- Sebanyak 315.74 tan sisa pukal telah dikutip dalam operasi pembersihan di pelbagai kawasan terjejas banjir di negeri ini baru-baru ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Mohd Shukor
Beliau berkata jumlah berkenaan dijangka mencapai 500 tan dan kira-kira 1,000 petugas telah dikerah bagi memastikan pelaksanaan kerja-kerja pembersihan dilakukan segera.
“Kerajaan Johor komited memastikan operasi pembersihan pascabanjir berjalan lancar.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) terdiri daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Majlis Daerah Segamat (MDSR) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) telah memainkan peranan penting dalam operasi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Jafni berkata sebanyak 144 lori RORO (Roll-on Roll-off), 11 lori open tipper dan 31 jengkaut telah digunakan bagi mempercepat proses pembersihan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, PBT dan sukarelawan atas usaha keras mereka dalam membantu rakyat bangkit daripada musibah berkenaan.
Kerajaan negeri katanya turut mengambil maklum mengenai cabaran logistik dan berusaha menambah baik koordinasi bagi memastikan sisa banjir dapat diurus dengan lebih efektif.
"Bagi memastikan kelancaran operasi ini, kami menggalakkan kerjasama erat antara penduduk dan PBT dalam melaporkan kawasan yang masih memerlukan perhatian. Kita juga sedang merancang langkah jangka panjang bagi meningkatkan ketahanan kawasan berisiko banjir melalui penambahbaikan sistem saliran dan infrastruktur,” katanya.
Mohd Jafni berkata sebagai usaha mencegah banjir, kajian kejuruteraan akan dijalankan untuk mengenal pasti kelemahan dan mencadangkan penyelesaian lebih mampan manakala kerajaan Johor juga akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan peruntukan tambahan dalam melaksanakan projek mitigasi banjir berskala besar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial