AM > BERITA

Aidilfitri: KPDN Perlis Jamin Bekalan Kelapa Mencukupi

26/03/2025 02:01 PM

KANGAR, 26 Mac (Bernama) -- Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis memberi jaminan bekalan kelapa di negeri itu mencukupi bagi kegunaan sepanjang musim Aidilfitri.

Pengarah KPDN Perlis Rohaida Hassan berkata masalah bekalan kelapa di negeri ini hanya berlaku pada minggu pertama Ramadan, namun kembali pulih selepas pemborong berjaya memperoleh bekalan dari Indonesia selain Sabah dan Sarawak.

"Bekalan kelapa insya-Allah mencukupi untuk raya ini yang menjadikan bekalan santan segar akan sentiasa ada. Sekarang harga santan antara RM17 hingga RM17.50 sekilogram di Perlis dan kita akan pantau supaya harganya tidak naik hingga RM20 sekilogram," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 peringkat Perlis di Pasar Besar Sena di sini hari ini.

Rohaida berkata sebanyak 37 penguat kuasa KPDN Perlis akan memantau harga barangan dari semasa ke semasa sepanjang Aidilfitri dan pengguna diminta membuat aduan sekiranya mendapati ada peniaga tidak mematuhi undang-undang berkaitan skim harga itu.

Beliau berkata menerusi tinjauan hari ini, pihaknya mendapati peniaga di Pasar Besar Sena mematuhi pelaksanaan skim harga terbabit selain pematuhan tanda harga, malah terdapat peniaga yang menjual barangan pada harga rendah berbanding harga maksimum ditetapkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan