AM > BERITA

Peluasan Bantuan SARA Beri Manfaat Besar Kepada Rakyat - Fahmi

26/03/2025 08:37 PM

PUTRAJAYA, 26 Mac (Bernama) -- Peluasan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 5.4 juta orang bermula 1 April ini memberi manfaat besar kepada rakyat sekali gus membantu penerima membeli barangan makanan dan keperluan asas.

Pada sidang media mingguan di sini hari ini, Jurucakap Kerajaan MADANI yang juga Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata jumlah yang akan diterima ialah antara RM50 hingga RM200 sebulan bagi tempoh yang telah dinyatakan.

“Kita boleh muat turun soalan lazim yang telah disediakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri yang turut mengandungi kesemua 3,500 premis yang boleh dilawati untuk membuat pembelian menggunakan MyKad di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata SARA yang dikreditkan secara bulanan dalam MyKad boleh digunakan hingga 31 Dis ini. 

“Ia adalah untuk kegunaan membeli barang-barang makanan asas, barangan kebersihan diri, ubat dan peralatan persekolahan,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan MADANI mengumumkan peluasan pelaksanaan SARA kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April, meningkat hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan penerima yang layak akan menerima bantuan sehingga RM2,100, meningkat sebanyak 75 peratus berbanding RM1,200 pada 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata SARA merupakan pendekatan bantuan secara bersasar, dengan sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

Menteri Kewangan itu berkata penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana kaedah tersebut memastikan golongan sasar menerima manfaatnya dalam bentuk barangan asas

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan