AM > BERITA

Uggah Mahu Kontraktor Siap Jambatan Batang Paloh Menjelang Mac Tahun Depan

26/03/2025 06:13 PM

KUCHING, 26 Mac (Bernama) (Bernama) -- Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas melahirkan kebimbangan terhadap kelewatan projek pembinaan Jambatan Batang Paloh bernilai RM298.4 juta di Mukah.

Beliau menggesa kontraktor untuk mengambil langkah serius bagi mempercepatkan pembinaan, termasuk membawa masuk lebih banyak jentera dan peralatan serta melanjutkan waktu kerja bagi memastikan projek yang kini sudah lewat 96 hari dapat disiapkan menjelang Mac tahun depan.

“Ini merupakan salah satu projek jambatan yang bermasalah dan hampir dikategorikan sebagai projek sakit.

“Apabila projek besar seperti ini tertangguh, rakyat akan meluahkan kemarahan dan kekecewaan mereka kepada wakil rakyat dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan selepas menerima taklimat kemajuan daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Dr Cassidy Morris dan wakil kontraktor hari ini.

Terdahulu, Uggah mengadakan lawatan ke tapak projek itu di Paloh.

Uggah berkata JKR Sarawak akan merangka pelan kerja baharu bagi membantu kontraktor menyiapkan pembinaan mengikut sasaran dan beliau akan mengadakan satu lagi lawatan ke tapak projek pada Julai bagi menilai kemajuan kerja yang telah dilakukan.

Setakat ini, kemajuan keseluruhan jambatan dua lorong sehala sepanjang 1.7 kilometer serta kerja-kerja pembinaan jalan raya sepanjang 4.6 kilometer hanya mencapai 75.25 peratus berbanding jadual asal sebanyak 84.63 peratus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan