SIBU, 29 Mac (Bernama) -- Seorang pekerja syarikat pendawaian yang tercampak dari bot dalam insiden di Sungai Batang Igan berdekatan Bungan Kecil di Mukah, kira-kira 160 kilometer (km) dari sini pada Rabu lepas ditemukan lemas malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mayat Saffuan Zaffarin, 30, ditemukan oleh penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekitar 7.36 malam.
“Mayat dijumpai kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi SAR yang memasuki hari ketiga sebelum penemuan mayat itu, melibatkan pencarian di kawasan radius lima hingga 10 km dari lokasi kejadian pada sebelah pagi manakala pencarian di permukaan sungai diteruskan sebelah petang.
Dalam kejadian kira-kira 2 petang Rabu itu, mangsa dipercayai tercampak selepas bot dinaikinya melanggar sebatang kayu hanyut ketika melalui kawasan Bungan Kecil, Batang Igan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial