AM > BERITA

Prasarana Sedia Tren Tambahan Jika Berlaku Kesesakan Menjelang Aidilfitri

26/03/2025 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Rapid Rail, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menyediakan tren tambahan sekiranya berlaku kesesakan luar jangka menjelang Aidilfitri bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Prasarana Amir Hamdan berkata pihaknya melakukan pemantauan harian terhadap jumlah penumpang serta kesesakan di platform dan luar stesen bagi menentukan keperluan tren tambahan.

“Setakat ini, berdasarkan analisis penggunaan tren, tiada keperluan untuk melanjutkan operasi selepas 12 tengah malam.

“Namun, kami sentiasa bersedia dengan tindak balas segera sekiranya terdapat lonjakan jumlah penumpang,” katanya selepas menyampaikan sumbangan juadah berbuka puasa kepada petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini hari ini.

Beliau berkata Pusat Kawalan Operasi (OCC) Rapid Rail akan berkomunikasi secara langsung sekiranya terdapat peningkatan mendadak dalam jumlah penumpang bagi membolehkan tren tambahan disediakan pada waktu yang bersesuaian.

Mengenai sumbangan juadah berbuka puasa kepada Bernama hari ini, Amir berkata ia sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu yang dilaksanakan sejak tujuh tahun lepas dalam bulan Ramadan.

Sebanyak 300 pek nasi arab dan kuih-muih diagihkan hari ini untuk mengeratkan hubungan antara Prasarana dan Bernama.

“Kami gembira dapat berkongsi rezeki dan menyantuni petugas Bernama yang bekerja tanpa mengira waktu. Ini juga selaras dengan semangat Ramadan yang menggalakkan amalan memberi,” katanya.

Turut hadir pada majlis agihan sumbangan berkenaan ialah Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Bernama Mohd Haikal Mohd Isa.

--BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan