AM > BERITA

SHMMP Aidilfitri: KPDN Periksa 1,751 Premis Di Seluruh Negara

26/03/2025 06:49 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memeriksa sebanyak 1,751 premis perniagaan di seluruh negara selepas tiga hari pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata daripada jumlah itu, sebanyak 119 tindakan diambil termasuk dua kes melibatkan peniaga menjual melebihi harga ditetapkan.

“Di KPDN, kami ada 2,400 pegawai di seluruh negara dan turut dibantu hampir 900 pemantau harga termasuk mendapat banyak maklumat daripada orang ramai tentang apa berlaku di luar sana.

“Pegawai-pegawai ini akan terus membuat pemeriksaan setiap hari. Ini semua akan dilakukan secara berterusan oleh pegawai penguat kuasa di seluruh negara bagi memastikan peniaga mematuhi sepenuhnya undang-undang yang kita kuatkuasakan,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.

Di bawah SHMMP Aidilfitri 2025 yang dikuat kuasa bermula 24 Mac hingga 7 April, sebanyak 26 jenis barangan diletakkan di bawah kawalan, meningkat daripada 22 jenis tahun lepas.

Empat barangan baharu yang ditambah ialah bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (ros), lobak merah dan santan.

Senarai barangan lain termasuk daging kerbau import, ikan kembung, sawi hijau, cili merah, bawang putih, ubi kentang import, halia tua import serta kelapa parut dan biji.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan