AM > BERITA

Sultan Selangor Titah Pemantauan Berterusan, Elak Ajaran Sesat Dihidupkan Semula

26/03/2025 09:06 PM

SHAH ALAM, 26 Mac (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan pemantauan berterusan dilakukan agensi berkaitan bagi memastikan ajaran sesat yang dibanteras tidak dihidupkan semula.

Baginda juga bertitah agar gejala ajaran sesat dicegah dari peringkat awal supaya tidak terus berkembang dan merosakkan akidah umat Islam. 

"Beta ingin mengingatkan umat Islam khususnya di Selangor supaya sentiasa memperkukuh iman dan akidah agar tidak mudah terpesong dengan sebarang ajaran atau fahaman yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

"Sebarang percanggahan daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah hendaklah dicegah daripada diamalkan di Selangor kerana ia akan membangkitkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam hingga membawa kepada perpecahan," titah baginda. 

Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat, Penyampaian Sumbangan Hari Raya serta Perasmian Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah di Denai Alam, di sini hari ini. 

Sultan Selangor bertitah sekiranya terdapat sebarang bentuk ajaran atau fahaman baharu yang mengelirukan, ia menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk merujuk kepada Mufti serta fatwa yang telah dikeluarkan selain melaporkannya dengan segera kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk tujuan penguatkuasaan. 

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menitahkan umat Islam supaya sentiasa bersifat jujur dan amanah terutamanya dalam menguruskan harta membabitkan golongan asnaf. 

Baginda turut menzahirkan rasa dukacita terhadap laporan berkait ketidakjujuran dan isu integriti seperti penipuan syarikat-syarikat pelancongan tanpa lesen yang mengendalikan pakej haji dan umrah. 

"Perbuatan keji ini juga boleh mencemar kesucian agama Islam pada pandangan penganut bukan Islam. Wahai umat Islam, beta menyeru dan merayu agar kita sentiasa mengingati akan hukuman keras Allah yang menanti kita andai kita gagal melaksanakan amanah dengan jujur dan berintegriti. 

"Walaupun mungkin kita boleh terlepas dengan hukuman dunia namun kita tidak akan dapat melepasi hukuman berat Allah di hari perhitungan nanti," titah baginda. 

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin di masjid berkenaan bersama Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah disambut oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, barisan Exco kerajaan negeri serta kepimpinan masjid.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa syukur di atas kesempatan merasmikan tujuh buah masjid baharu di seluruh Selangor sepanjang Ramadan selain mengagihkan sumbangan Lembaga Zakat Selangor berjumlah RM35.2 juta kepada 75,207 orang fakir, miskin dan mualaf dari seluruh daerah di negeri ini.  

Baginda turut berharap sumbangan berkenaan dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh mereka terutamanya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan