AM > BERITA

GDRN Salur Bantuan RM1.2 Juta Kepada Komuniti Terjejas Banjir Di Johor

29/03/2025 11:52 AM

JOHOR BAHRU, 29 Mac (Bernama) -- Gabungan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang dikenali sebagai GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN), mengumumkan penyediaan bantuan pascabanjir RM1.2 juta kepada komuniti yang terjejas banjir di Johor.

Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah Siti Kamariah Ahmad Subki berkata bantuan tersebut, merupakan 3,850 kit keluarga yang mengandungi peralatan elektrik dan bekalan makanan bagi membantu keluarga terjejas untuk pulih serta persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata bagi mengagihkan bantuan itu, pihaknya telah bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan seterusnya akan disampaikan ke kawasan terjejas di Johor Bahru, Pontian, Kluang, Kota Tinggi dan Batu Pahat.

“Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama 11 organisasi seperti CIMB Islamic, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Lembaga Tabung Haji, Malaysia Airports Holdings Bhd, Kumpulan Maybank, Permodalan Nasional Bhd, RHB Bank, Yayasan Hasanah, Yayasan Petronas, Yayasan Sime Darby dan Yayasan TM.

“Yayasan Hasanah dan Yayasan TM yang merupakan sekteriat GDRN ini berharap dengan adanya sumbangan tersebut akan memberikan kelegaan kepada keluarga penerima serta mempunyai kelengkapan bagi menyambut Aidilfitri.

“Kerjasama GLC dan GLIC ini mencerminkan komitmen bersama dalam menyokong komuniti yang memerlukan, selain tanda solidariti, keprihatinan dan komitmen dalam usaha pemulihan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siti Kamariah berkata sehingga 17 Mac, GDRN telah menyumbang sebanyak RM23.9 juta bagi membantu komuniti yang terkesan akibat banjir kali ini, di negara ini.

Sementara itu, Pengarah Yayasan TM Ainol Shaharina Sahar menyatakan pihak GDRN merakamkan penghargaan kepada yang terlibat dan kelebihan setiap GLC serta GLIC terlibat membolehkan bantuan disalurkan dengan cepat.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan