AM > BERITA

Dua Beradik Maut: Nanta Minta Laporan Segera Daripada Syarikat Konsesi

26/03/2025 09:43 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengarahkan syarikat konsesi menyediakan laporan terperinci dengan kadar segera susulan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian dua pelajar adik-beradik di Kluang, Johor baru-baru ini.

Beliau berkata dalam pertemuan lebih dua jam bersama wakil syarikat konsesi itu di Melaka hari ini, pihak syarikat diarahkan memberi penjelasan kepadanya serta pengurusan tertinggi kementerian. 

“Saya telah membatalkan mesyuarat pasca-Kabinet di kementerian untuk bertemu sendiri dengan wakil syarikat konsesi yang bertanggungjawab ke atas penyelenggaraan jalan berkenaan iaitu Selia Senggara Selatan Sdn Bhd di Melaka.

“Saya juga telah menegur dengan tegas bahawa syarikat konsesi perlu meningkatkan usaha untuk memastikan jalan yang berada di bawah tanggungjawab mereka sentiasa dalam keadaan baik demi keselamatan pengguna,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut mengingatkan syarikat konsesi agar tidak bertindak hanya selepas tragedi berlaku kerana pematuhan standard penyelenggaraan jalan bukan sekadar tanggungjawab kontrak, tetapi juga satu amanah untuk memastikan keselamatan rakyat.

"Saya tidak mahu ada lagi nyawa yang melayang disebabkan oleh kelemahan infrastruktur jalan raya," katanya.

Pada 21 Mac, media melaporkan dua beradik, Norhazim Kamaruzaman, 17, dan Nur Alif Ikhwan, 16, maut akibat parah di kepala serta badan selepas motosikal ditunggang terlanggar lubang ketika dalam perjalanan ke sekolah.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan