KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital) memeterai perjanjian sewaan untuk tempoh 20 tahun dengan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi memodenkan dan menguruskan satu daripada mercu tanda ikonik Malaysia, Menara Kuala Lumpur (Menara KL), dan kawasan sekitarnya.
Pemaju hartanah dan syarikat pembinaan itu berkata mereka merancang untuk memberi nafas baharu dan mengindahkan Menara KL serta kawasan sekitarnya, menjadikan seluruh kawasan tersebut destinasi yang berdaya hidup, bersepadu untuk pelancongan, peruncitan, dan kebudayaan.
LSH Capital berkata perjanjian sewaan ini selaras dengan konsesi yang diberikan oleh kerajaan, yang merangkumi pengurusan, operasi, dan penyelenggaraan menara tersebut dan kawasan sekitarnya, berkuat kuasa 1 April, 2025 hingga 31 Mac, 2045.
Mengikut perjanjian itu, LSH diberikan hak ke atas kira-kira 10 ekar tanah, termasuk tapak menara, Tower Terrace dan kawasan berdekatan.
Pengerusi Bukan Eksekutifnya Tan Sri Lim Keng Cheng menyifatkan projek ini sebagai peluang keemasan pihaknya menyumbang kepada pembangunan landskap bandar Malaysia dan meningkatkan daya tarikan pelancongannya.
Perjanjian sewaan ini ditandatangani oleh LSH Service Master Sdn Bhd, sebuah usaha sama antara LSH BEST Builders Sdn Bhd (LSHBB) dan Service Master (M) Sdn Bhd (SMMSB), dengan LSHBB memegang 70 peratus kepentingan dan SMMSB memegang sebanyak 30 peratus.
LSH Capital berkata perjanjian itu menandakan percubaan pertama mereka dalam perkhidmatan pengurusan fasiliti dan bertujuan untuk mewujudkan asas pendapatan berulang yang stabil bagi tempoh jangka panjang untuk kumpulan tersebut.
“LSH Capital komited untuk mengembangkan segmen perniagaan baharu ini bagi mencipta pertumbuhan yang mampan sambil menyediakan perkhidmatan bersepadu yang berkualiti tinggi dan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur Malaysia,” kata syarikat itu dalam makluman kepada bursa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial