KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Pemerkasaan bumiputera melalui pendekatan 3P, iaitu Penyertaan, Pemilikan, dan Penguasaan merupakan kaedah berimpak tinggi yang dilihat mampu menerajui pembangunan sosioekonomi bumiputera, kata Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Zulfikri Osman.
Beliau berkata sebagai peneraju mengangkat martabat bumiputera, matlamat 3P oleh MARA itu bukan sekadar retorik semata-mata, namun ia akan dibuktikan melalui peningkatan sumbangan masyarakat bumiputera dalam industri negara.
"Saya percaya model yang kita laksanakan ini ialah usaha bertepatan memastikan bumiputera terlibat serta memiliki kepakaran yang tinggi untuk memacu produktiviti ekonomi negara.
"Semakin ramai golongan tenaga mahir dan profesional yang kita lahirkan, maka ia akan memberi impak besar terhadap penguasaan ekonomi yang berpotensi dipelopori oleh anak bumiputera," katanya pada program Naratif Eksklusif Ketua Pengarah MARA di Ibu Pejabat MARA.
Mengulas lanjut, Zulfikri berkata ekosistem pendidikan MARA akan mewujudkan artikulasi yang lebih lancar sepertimana pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang didedahkan dengan laluan kerjaya bidang profesional serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau berkata melalui sektor pendidikan, MARA akan melahirkan graduan bumiputera berpengetahuan dan berketerampilan, seterusnya membuka peluang kerjaya dalam industri dan ekonomi negara.
Melalui fungsi sektor keusahawanan MARA pula, katanya pelajar daripada bidang profesional mahupun TVET juga diberikan laluan untuk menceburi bidang keusahawanan.
"Jika dulu mereka boleh bekerja, maka ia dikenal pasti sebagai elemen penyertaan, kini mereka boleh memiliki entiti perniagaan tersendiri yang dimaksudkan dengan elemen pemilikan.
"Menyentuh soal TVET, pada peringkat GiatMARA, kita mahukan institusi berkenaan menjadi pusat berkemahiran tinggi, iaitu menyediakan kompetensi pelatih daripada tahap 1 hingga tahap 5," katanya.
Selain itu, Zulfikri turut menekankan sektor pelaburan MARA khususnya kepada subsidiari MARA yang perlu memiliki tadbir urus korporat efisien serta mengenal pasti peluang dan pasaran baharu untuk meningkatkan daya saing dan prestasi perniagaan.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru warga kerja MARA agar sentiasa mendalami semangat MARA dalam diri bagi memastikan nilai integriti, kesungguhan bekerja, dan matlamat 3P dapat dicapai dengan sebaiknya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial