AM > BERITA

Aidilfitri: PM Nasihat Orang Ramai Pandu Dengan Berhati-hati, Berhemah Di Jalan Raya

28/03/2025 05:06 PM

SHAH ALAM, 28 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati orang ramai yang akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri agar memandu secara berhemah dan berhati-hati di jalan raya. 

Perdana Menteri berkata langkah berwaspada perlu diambil bagi mengelakkan hari kemenangan itu tidak disambut dengan kedukaan berikutan angka kemalangan yang biasanya meningkat pada musim perayaan.

"Menjelang Hari Raya Aidilfitri, ramai yang akan pulang ke kampung. Kita minta para pemandu supaya sentiasa berwaspada bagi mengelakkan kemalangan kerana angka itu sudah meningkat, jadi kita harus elakkan. 

"Itu sebagai pesan kepada semua kerana kita nak pergi ini untuk (eratkan) silaturahim sempena Aidilfitri tetapi bila dah kemalangan, ia akan susahkan bukan sahaja keluarga kita tetapi juga sanak saudara," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama lebih 1,000 jemaah di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16 di sini hari ini. 

Beliau sempat beramah mesra dengan jemaah yang hadir sebelum bergerak ke Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor bagi meninjau persiapan Aidilfitri orang ramai. 

Perdana Menteri, yang tiba pada 2.30 petang, meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau harga barangan dan situasi perniagaan di pusat beli-belah yang menjadi identiti Shah Alam serta tempat usahawan bumiputera mencari rezeki.

Anwar, yang diiringi Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari serta Exco Belia, Sukan dan Keusahawan negeri Mohd Najwan Halimi, juga dilihat bertanya khabar dengan peniaga selain bersalaman dengan pengunjung yang teruja dengan kehadiran Perdana Menteri ke kompleks perniagaan berusia 48 tahun itu.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan