AM > BERITA

Gempa Bumi: Malaysia Hantar Bantuan Kemanusiaan, Sertai SAR Di Myanmar, Thailand - TPM Ahmad Zahid

29/03/2025 10:49 AM

PUTRAJAYA, 29 Mac (Bernama) -- Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART)  digerakkan bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling terkesan akibat gempa bumi di Myanmar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata pasukan itu dijadual tiba di Yangon kira-kira 1 tengah hari ini.

“Pada masa yang sama, misi bantuan kemanusiaan ke Thailand juga sedang diselaras dan akan digerakkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai negara jiran yang prihatin dan rakan solidariti dalam komuniti ASEAN, Ahmad Zahid berkata Malaysia menyatakan komitmen penuh membantu negara-negara yang terjejas dalam insiden itu.

Beliau berkata Malaysia melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kekal komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam pengurusan bencana, khususnya melalui penyediaan kepakaran, aset teknikal dan sokongan logistik bagi meringankan penderitaan mangsa serta mempercepat proses pemulihan pascabencana.

“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Myanmar dan Thailand dalam menghadapi saat-saat sukar ini dan akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha bantuan kemanusiaan di rantau ini,” kata beliau.

Ahmad Zahid berkata Malaysia merakamkan dukacita dan simpati yang mendalam terhadap insiden gempa bumi yang berpusat di Myanmar serta memberi impak besar kepada negara jiran Thailand. 

“Kejadian ini telah mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan serius serta kerosakan besar kepada bangunan dan infrastruktur awam di kedua-dua negara.

“Lebih memilukan, terdapat laporan mengenai mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan manakala usaha menyelamat sedang dijalankan dalam keadaan mencabar,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan Malaysia akan menghantar dua pasukan daripada NADMA ke Myanmar bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana susulan gempa bumi yang melanda tengah Myanmar, utara Thailand dan sebahagian selatan China.  

Menurut Kementerian Luar pasukan penilaian awal yang terdiri daripada 10 anggota NADMA itu akan berlepas ke Yangon hari ini bagi memberikan bantuan teknikal dan menjalankan penilaian keperluan di lokasi.  

Pasukan kedua melibatkan 40 anggota dijadualkan berlepas pada Ahad akan memberi tumpuan kepada kawasan keutamaan yang dikenal pasti dalam penilaian awal.

Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan satu gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 melanda Myanmar pada kedalaman 10 kilometer dan beberapa minit kemudian, gempa susulan berukuran 6.4 pada Skala Richter melanda kawasan yang sama.

Gegaran kedua-dua gempa turut dirasai di Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh City.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan