Oleh Fadzli Ramli
KOTA KINABALU, 31 Mac (Bernama) -- Penggunaan MyKad dalam menyalurkan bantuan Program Subsidi Asas Rakyat (SARA) yang bermula tahun ini, langkah tepat kerajaan bagi memastikan bantuan sampai kepada rakyat Sabah dengan pantas dan mudah, berbanding secara tunai sebelum ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata inisiatif itu juga membolehkan penerima SARA di Sabah dapat membeli barangan keperluan asas di 424 premis terpilih tanpa perlu menunggu bantuan tunai yang mengambil masa lama, terutamanya penerima di pedalaman atas pelbagai faktor antaranya geografi.
"Dengan penggunaan MyKad ini, penerima boleh membeli barang keperluan asas di pasar raya yang terlibat, dan mereka juga boleh memeriksa baki yang ada dalam MyKad mereka," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata jumlah penerima bantuan SARA di Sabah adalah yang tertinggi iaitu seramai 497,815 orang melibatkan peruntukan RM492.63 juta sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu golongan memerlukan di negeri itu.
Armizan berkata penerima SARA kini boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli 13 kategori barang keperluan terpilih, termasuk barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan selain barang makanan asas di premis yang mengambil bahagian dalam program berkenaan.
Program SARA akan diperluas kepada 5.4 juta penerima di seluruh negara mulai 1 April ini dengan kadar bantuan bulanan dinaikkan hingga RM200 mengikut kategori berbanding RM100 sebelum ini.
Seorang penerima yang juga pekerja kedai runcit dari Kampung Mesilou di Kundasang, Mariana Galim, 42, berkata sebelum ini beliau bersama penduduk tempatan terpaksa beratur panjang di sebuah bank di Ranau (BSN) dan menunggu lama untuk mendapatkan bantuan berkenaan.
“Jarak (dari kampung) tidak jauh, dalam 20 kilometer (Kampung Mesilou ke Pekan Ranau) tetapi jalan berbukit, sempit dan banyak kenderaan, memang amat menyukarkan sehingga lebih sejam juga mahu pergi sana (bank), beratur panjang lagi memang sukar. Bila masuk terus MyKad, amat mudah kita terus guna untuk beli barang keperluan sahaja,” katanya.
Beliau berkata kepelbagaian barangan yang boleh dibeli melalui program SARA itu juga sangat membantu keluarganya kerana selain barang dapur, boleh membeli keperluan sekolah anak-anak dan ubat-ubatan sekali gus membantu meringankan bebannya serta suami yang berkerja sebagai pemandu van pelancong.
Bagi Md Ahmadi Kusoi, 45, seorang petani dari Kampung Tampasuk, Kota Belud, penggunaan MyKad untuk program SARA selain menjimatkan masa ia juga mengurangkan risiko kehilangan wang tunai.
"Dulu kena tunggu lama untuk dapat duit tunai, sekarang bila ada MyKad, senang sangat nak beli barang. Tak perlu bimbang duit hilang atau kena rompak," katanya sambil mengakui sistem baharu itu lebih selamat dan efisien.
Dengan bantuan SARA itu, dia dapat membeli barang keperluan lain untuk keluarganya, terutama ubat-ubatan yang kurang dibeli sebelum ini kerana perlu mengutamakan barangan keperluan asas seperti beras dan makanan.
Sementara itu, peniaga makanan di Tamu Donggongon, Penampang Siti Khadijah Rusli, 38, menyifatkan SARA sebagai 'penyelamat' untuk perbelanjaan keluarganya dan mampu membantu (meningkatkan modal) perniagaan.
"Berniaga kecil-kecilan ini macam orang bilang (kata) kais pagi makan pagi, apa untung kita dapat itulah kita guna belanja rumah. Tetapi bila ada SARA belanja rumah jadi ringan, untung itu boleh kita tambah untuk kita beli lagi banyak barang berniaga," katanya.
Beliau berkata sistem MyKad itu telah membolehkannya membeli keperluan asas seperti susu tepung untuk anaknya yang masih kecil serta barangan keperluan sekolah tanpa perlu risau tentang kekurangan wang tunai untuk perniagaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial